Ahad, 3 Julai 2011

Kadangkala Hidup Ini Rumit Yang Tak Nampak Rumitnya

Pernah tak kita terfikir yang mungkin hidup kita dan orang disekeliling kita ini semuanya rekaan minda kita semata-mata?? Aku berani jamin tak ramai yang tahu dan sedar akan perkara ini sebelum mereka didiagnosis sebegitu. Begitu juga halnya yang terjadi kepada Sir John Forbes Nash Jr. atau lebih dikenali sebagai John Nash yang didiagnosis menghidap skizofrenia. Aku rasa ramai yang tahu kisah hidup dia ni sebab ada filem yang dibuat tentang kisah hidup dia yang bertajuk 'A Beautiful Mind'. Hit jugak filem ni suatu ketika dulu tapi aku baru je tengok hari Jumaat lepas. Aku tahu pasal filem ni pun melalui satu rancangan kesihatan minda yang disiarkan kat TV2 tak lama dulu.

John Nash ni genius dalam subjek Matematik. Dia ni anak orang pandai-pandai jugak dan kepandaiannya itu menyebabkan dia selalu mengasingkan diri daripada orang ramai dan sentiasa menginginkan penghargaan atas ciptaan yang dibuat olehnya. Dipendekkan cerita, semasa beliau di Princeton Unviersity untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran kalau tak salah aku, dia mulai mereka dunianya sendiri. Watak pertama yang direkanya ialah rakan sebiliknya yang bernama Charles. Rakannya ini merupakan segala-galanya untuk John Nash kerana hanya Charles yang sentiasa memberikan sokongan dan selalu berada di sisinya ketika beliau memerlukan teman. didorong oleh itu, akhirnya beliau berjaya menghasilkan teori matematiknya sendiri dan menumpaskan lawannya yang merupakan salah seorang bijak pandai di universiti itu juga, Martin Hansen yang sering mencabar kepandaiannya. 

Selepas berjaya dalam hidupnya dan menjadi terkenal maka wujud seorang lagi watak rekaanya iaitu William Parcher, seorang ajen kerajaan di Jabatan Pertahanan Amerika. Pada Nash, William ini mengambilnya menjadi seorang ajen kerajaan dan memerlukan kepandaiannya menghurai kod melalui abjad di dalam majalah dengan menggunakan teori matematik untuk mengesan pergerakan bom yang dihantar oleh Rusia bagi menentang Amerika. Sepanjang tempoh itu juga beliau bertemu dengan isterinya Alicia yang merupakan salah seorang pelajarnya dan mendirikan rumah tangga dengannya. Setelah beberapa ketika, wujud lagi seorang watak rekaan Nash di dunianya iaitu Marcee, anak saudara kepada Charles, rakan sebiliknya. Nash sangat menyayangi kanak-kanak itu seperti anaknya sendiri.

Tak lama selepas Nash merasakan dirinya diancam oleh perisik Rusia yang konon-kononnya telah mengetahui rahsianya menjadi ajen kerajaan Amerika, John Nash akhirnya berjaya dibawa ke hospital mental selepas melarikan diri ketika memberi ceramah dalam Persidangan Matematik Kebangsaan Amerika. Ketika itu, isterinya sarat mengandungkan anak mereka. Disitulah terbongkar segala-galanya mengenai 'dunia' rekaan Nash. Setahun selepas itu, John Nash kembali normal dengan bantuan ubat yang diambilnya selepas menjalani rawatan di hospital. Namun kesan sampingan ubat tersebut menyebabkan Nash mulai berhenti mengambil ubat tersebut dan kembali mendapat halusinasinya dulu. Sehinggalah terjadinya satu insiden yang hampir meragut nyawa anaknya menyebabkan Nash mulai tersedar yang semua itu tidak wujud dan akhirnya John Nash kembali menjalani rawatan melalui terapi sosial.

Berkat pertolongan seterunya di universiti dahulu, Martin Hansen yang ketika itu telah menjadi Ketua Jabatan Matemaik Universiti Princeton yang memberikannya peluang untuk menghabiskan masa di perpustakaan dan kembali mengajar di universiti, John Nash berjaya menepis gangguan halusinasinya walaupun beliau masih nampak watak-watak rekaannya itu memerhatikannya. Kisah hidupnya diakhiri dengan kejayaannya memperoleh Nobel Prize dalam bidang Matematik yang disifatkan sebagai kejayaan terbesar dalam hidupnya sebagai seorang bijak pandai dan penghidap skizofrenia.

Bagi aku, cerita ini meruntun perasaan aku kerana keikhlasan yang ditunjukkan oleh Martin Hansen menerima John Nash walaupun sedar akan risiko penyakit yang dihidapi Nash dan walaupun suatu ketika dulu mereka pernah bermusuh. Satu lagi kerana kesetiaan yang ditunjukkan oleh isteri Nash, Alicia yang sentiasa memberikan sokongan padu buat suaminya dalam apa jua keadaan. Oleh itu, sebagai kesimpulan adalah wajar untuk kita belajar mengawal stres dan sentiasa memberi ruang untuk diri kita bergaul dengan orang ramai walaupun dalam kesibukan kita menimba ilmu dan bekerja supaya kesihatan minda dapat dikekalkan kerana penyakit otak boelh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira tahap kepandaian, status, umur atau jantina seseorang itu.

p/s: Mendekatkan diri dengan Allah bagi umat Islam adalah jalan terbaik menghindarkan diri daripada kekusutan fikiran dan gangguan syaitan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan