Ahad, 9 Disember 2018

Nukil Jiwa Tertawan Rasa

Termenung berdiam,
Dihadapan papan nukil ia terbungkam,
Sejuta rasa yang ingin dijadikan kata-kata,
Tiada terungkap dalam keindahan bahasa.

Namun desak hatinya tiada tertahan lagi,
Perasaan atau kehendak atau kegilaan ini,
Harus dikeluarkan menjadi satu warkah bernyawa kata,
Dalam dunia yang lebih tampak nyata.

Ribuan kali bertingkah minda dan hati,
Jangan diturut uja melintasi,
Bimbang nanti semilir rasa,
Berubah jadi badai binasa.

Namun apakan daya seorang penasaran,
Dihelahkan firasatnya dengan sebuah harapan,
Kali ini mungkin saja bertemu tuah,
Debunga kecil bertukar menjadi buah.

Tertampan matanya melihat sebuah ciptaan,
Elok paras molek perlakuan,
Tunduk matanya melihat keindahan hawa,
Bukti ketinggian budi dan kemurnian jiwa.

Baik turunannya juga peribadinya,
Tiada terdengar ulah tentangnya,
Cuma ketahuan mulia jiwanya,
Memberi membantu pada yang tak punya.

Lalu berbisiklah fitrah pada diri,
Mahu menawan si pencuri hati,
Dipanjat doa kepada Yang Maha Mengetahui
Biarlah kali ini dirinya diberi peluang barang sekali,
Merasa dikasihi oleh pilihan hatinya sendiri,
Kerana telah lupalah ia,
Bagaimana indah rasa,
Bertepuk pada nada yang sama.

Sedar akal warasnya,
Semua ini dugaan jiwanya,
Manakan mungkin pipit dan enggang terbang seiiring bersama,
Mungkin hembusan indah ini singgah bersapa,
Sebelum kembali ke lautan hampa.

Kendatipun jiwanya mungkin remuk,
Tiada ia pasrahkan keindahan yang merasuk,
Hawanya ditawan sebuah keyakinan
Bersulam harapan bahagia dihujung jalan.

Bunga dedap lebat di dahan,
     Bila kembang warnanya merah;
Kalau cinta menjerat badan,
     Hati juga selalu gelisah. 
(sumber : Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP)