Isnin, 5 Ogos 2013

Yang Datang, Yang Pergi dan Yang Kekal

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua!

Biasalah, bila bosan baru nak menjengulkan diri ke laman yang sentiasa terbiar sepi ini. Aku pasti, tatkala ini pasti ramai dalam kalangan rakan-rakan sebayaku di UiTM mahupun di mana-mana sekolah Undang-Undang sedang sibuk mencatatkan pengalaman masing-masing menjalani latihan praktikal di firma-firma guaman, mahkamah mahupun dimana-mana bahagian perundangan. Untuk diri saya sendiri, saya memilih untuk menjalanai latihan praktikal di sebuah firma guaman berdekatan dengan rumahku di Bangi. Firma ini hanya sebuah firma kecil yang comel yang mana pekerja-pekerjanya semua perempuan dan terdiri daripada 3 orang pekerja sahaja! Kebanyakan kes yang diambil oleh firma ini hanyalah kes-kes yang berkaitan dengan urusan hartanah. Barulah nampak betapa 'dasar'nya National Land Code yang kita belajar tu. Banyak prosedur-prosedur lain yang membutuhkan pengetahuan lanjut dan setiap prosedur mungkin berbeza mengikut negeri. Benarlah kata-kata pengamal undang-undang yang pernah kutemui sebelum ini: ''Sewaktu belajar, kita hanya memahami undang-undang, tetapi sewaktu bekerja, kita mencari undang-undang tersebut dan mengaplikasikannya."


Walaupun tak banyak kerja yang diberikan kepadaku, namun sedikit sebanyak aku dapat menimba ilmu dengan lebih mendalam mengenai Undang-Undang Tanah yang merupakan antara subjek kegemaranku. Paling mengujakan bila aku mengetahui bahawa sebanyak-banyak silibus subjek Administration of Trusts (Pengurusan Amanah) yang kulabel sebagai 'borderless syllabus' itu, rupanya masih ada yang tertinggal dan tidak dipelajari langsung (atau mungkin aku yang terlepas pandang) pasal Akta Harta Pusaka Kecil. Akta ini sangat basic untuk menguruskan pembahagian harta orang Islam dan bukan Islam yang mati tidak berwasiat tetapi dalam jumlah yang kecil atau tidak melebihi RM2 juta. Namun, jumlah pembahagian bagi yang beragama Islam masih tetap mengikut hukum Faraidh yang kita pelajari dalam AoT.



Okaylah, tak nak cerita banyak-banyak pasal praktikal sebab ada perkara yang lebih hangat daripada praktikal, yakni Hari Raya Aidilfitri atau Hari Lebaran!Untuk Ramadhan kali ini, rasanya inlah kali pertama aku merasai pengalaman berpuasa di negeri orang. Maklumlah, awok tak pernah menetap kat negeri lain dari kecik sampai besau. Bagi tahun ini, aku merasai pengalaman berpuasa di Kuantan selama 3 hari bersempena dengan Kuantan Homecoming yang diadakan di UiTM Kampus Kuantan, Pahang. Program ini diadakan khusus untuk meraikan pelajar-pelajar Asasi Undang-Undang di Kampus UiTM Kuantan selain membawa bekas-bekas pelajar Asasi UiTM Kuantan yang telah melanjutkan pelajaran di kampus induk. Secara keseluruhannya, adik-adik Asasi kat sana memang terbaik! Mula-mula datang semua pasif. Maklumlah, mula program pun lepas tarawikh. Masing-masing dah letih, esoknya pula aktiviti permulaan adalah slot Bersama MPP, mau tak mengantuk diknon! Hahaha! But overall, they are incredibly awesome and sporting. Paling menarik, untuk aktiviti tugasan semasa aktiviti treasure hunt yang memerlukan mereka berlakon menggunakan barangan yang diberikan kepada mereka, kesemua 9 kumpulan mampu membuatkan kami ketawa pecah perut dengan gelagat mereka! Itu belum campur lagi dengan fashion show daripada surat khabar yang digayakan oleh salah seorang ahli daripada setiap kumpulan.


Comel kan? Pemenang Ratu Kuantan Homecoming. Serious!

Sesi latihan lakonan. Scene jumpa bomoh!

My lovely group. Kesian yang jadi model tu, dahlah ala-ala Imam Muda dia tuh. Tak memasal kena pakai dress~

Wajah-wajah tulus yang menyentuh hati =')

Paling tak dapat dilupakan, hari kedua program, dek kerana kepenatan, aku minta semua urusetia di Kampus Padang Lalang berangkat ke Kampus Bukit Sekilau untuk berbuka puasa tanpa kehadiranku (juadah berbuka memang disediakan di Kampus Bukit Sekilau). Nak dijadikan cerita, aku terlelap keletihan sehingga jam 8.30 malam tanpa berbuka puasa! Apa lagi, kalutlah mencari makanan dalam kesepian kampus tu. HAHAHA! Nasib baik ada Arked Makanan berhampiran dengan kawasan kampus tersebut. Memang kena gelaklah dengan akak yang jual makanan tu bila dia tanya aku baru nak berbuka ke menggigil cari nasi! Apa-apa pun, pengalaman tersebut pasti menjadi ingatan sepanjang hayat.

Sedar, tak sedar, dalam kesibukan mengejar itu dan ini, Ramadhan telah tiba di penghujungnya. Sejauh mana lebihnya amalan yang dilakukan, tanyalah iman diri sendiri dan berdoalah semoaga setiap ibadah yang dilakukan diterima Allah. Ada sepotong hadis yang menyentuh hatiku berkaitan dengan ibadah puasa. Maksud hadis tersebut berbunyi:

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak misk (kasturi), (Allah SWT berfirman) kerana dia meninggalkan makanannya, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan 10 kebaikan yang serupa. (Muttafaq 'alaihi).

Entah kenapa aku rasa terharu yang amat kerana Allah sanggup membalas kebaikan kita yang meninggalkan syahwat untuknya dengan 10 kebaikan yang serupa. Betapa Allah menunjukkan penghargaan tertinggi buuat kita dalam bulan Ramdhan ini sedangkan kita mungkin berasa berat untuk melaksanakannya. Itulah tanda cinta dan kasih Allah buat kita semua, umat Islam.

Sepurnama berpuasa, maka tibalah hari untuk meraikan kemenangan kita semua! Sekali lagi, Allah memberikan kesempatan untuk kita bergembira dengan kemenangan kita dan sebagai penghargaan bagi ibadah yang kita lakukan untukNya. Lebaran tahun ini ada kelainannya kerana aku menyambut lebaran kali ini sebagai seorang wakil pelajar. Lebih banyak kemaafan perlu kupohon daripada semua mahasiswa dan mahasiswi UiTM terutamanya warga Fakulti Undang-Undang. Dikesempatan ini, dengan penuh rendah diri dan kesungguhan, aku ingin memohon maaf kepada semua yang mengenali diri ini terutamanya kepada mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Undang-Undang jika sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Majlis Perwakilan Pelajar ini diri ini banyak melukai kalian dan banyak janji yang tidak terlaksana. InshaaAllah, perjuangan untuk kalian masih diteruskan disisa waktu yang ada ini sebelum berakhirnya tempoh MPP Sesi 2012/2013. Untuk rakan-rakan dan sahabat handai, ampunkan diri ini kerana telah banyak mengabaikan kalian selama ini terutamanya kepada Shasha, Shira, Ayu, Mas, dan yang lain-lain juga. Akhir kalam, Salam Aidilfitri 1434H, Maaf Zahir dan Batin.

p/s: Sedih ke hulu hati sebenarnya untuk raya kali ini kerana keputusan peperiksaan semester lepas yang tidak memberangsangkan. Dugaan bulan mulia barangkali. Dugaan yang menguji sejauh mana teguhnya iman aku. Mujur Allah masih mahu memujuk hati ini dengan ketenanganNya. Bayangkan, saat-saat adik-beradik MPP yang lain meningkat prestasi, aku makin ke bawah. Sedih bertambah pilu. Tapi apakan daya, itu sahaja rezeki buatku. Mungkin petanda banyak alpa danllai sebelum ini. Semoga terus tabah.




Selasa, 23 April 2013

Bahang Hari Pilih-Memilih: Antara Semangat dan Menyengat

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera! Untuk semua pelajar UiTM, Selamat Bercuti Pertengahan Semester~! Banyak betul cuti semester ni, jangan lemau masing-masing sudahlah ye. Cakap pasal cuti, pasti ada antara rakan-rakan kita yang tengah fikirkan macam mana nak balik mengundi nanti, kan? Maklumlah, untuk pelajar-pelajar UiTM, cuti mengundi dipanjangkan sehingga 7 Mei bermula dari 4 Mei 2013. Ada yang baru sahaja pulang dari kampung halaman yang jauh seperti di Sabah dan Sarawak, dah nak kena balik mengundi pulak. Walau apapun, saya pasti anda bijak membuat keputusan yang tepat!

Pekeliling TNC HEA UiTM tentang cuti PRU 13. Have a look on it guys!

Walau bagaimanapun, dalam semarak menyambut ketibaan Hari Pilihan Raya Umum kali Ke-13 ( wah, dah macam sambut Hari Raya pun ada!), saya dapat merasakan sendiri pengalaman yang berbeza daripada ambang PRU sebelum ini. Ketika PRU 12 dijalankan, saya masih dibangku sekolah menengah (muda lagi time tu. Sweet 16 uollz!). Tiada bahang semangat kepartian yang ketara dapat dirasakan ketika itu. Yelah, semua masih lagi belum cukup matang untuk memberatkan otak dengan soal politik. Lebih baik fikirkan bagaimana nak selesaikan soalan Add Math yang berliku-liku jalan kerjanya atau soalan Biologi yang boleh biol otak dibuatnya jika silap faham. Namun situasi tersebut berubah 360 darjah untuk PRU kali ini yang mana persekitaran yang ada disekeliling saya merupakan persekitaran yang penuh dengan fahaman-fahaman politik yang pelbagai dan bahang semangat kepartian sangat ketara! Sesungguhnya, kehidupan di universiti teramat berbeza daripada kehidupan di zaman sekolah. 100% different!

Saya kagum dengan semangat-semangat serta kepelbagaian ideologi yang ada pada diri mahasiswa sekarang dan terus terang saya katakan, saya hormati pendirian kalian. Bagi saya, tiada masalah langsung untuk bekerja dengan mereka yang berbeza fahaman dan ideologi politik selagi masing-masing mampu bersikap professional yakni mampu membezakan tugasan akademik mahupun non-akademik di fakulti dan politik luar. Sebagai seorang pelajar daripada Fakulti Undang-Undang yang sememangnya 'celik' dengan pelbagai ideologi dan fahaman, saya belajar untuk mengadaptasikan diri saya dengan kepelbagaian yang ada dan belajar untuk tidak menurut fahaman diri sendiri semata-mata. 

Pada pandangan saya, pelajar Fakulti Undang-Undang merupakan pelajar-pelajar yang bertuah kerana kita didik untuk berfikiran secara kritis dalam meneliti setiap aspek dalam usaha untuk melahirkan pengamal undang-undang yang mantap. It is part of our syllabus in which by the end of our study, we'll be able to distinguish facts precisely without making a hasty decision. Mungkin disebabkan oleh itu jugalah, maka, pelajar Fakulti Undang-Undang sering dilabel sebagai mahasiswa yang lantang bersuara dan pencetus masalah politik di kampus. Bukan begitu, ramai diantara kami yang mampu berfikir di luar kotak dan hasilnya, mereka rasa terpanggil untuk meluahkan pendapat mereka. Mungkin ada yang a bit outstanding on his/her expressions of view, tetapi itu merupakan sebahagian daripada proses aplikasi pernyataan pandangan sebagai impak daripada teknik pemikiran kritis yang kami gunakan untuk menjawab soalan-soalan perundangan.



Namun, harus diingat! Semua pelajar punyai bakat untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Saya pasti, pada musim pilihan raya seperti sekarang, ramai pelajar mula menunjukkan bakat pemikiran kritis mereka dalam menilai situasi negara sekarang sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan pemimpin yang layak untuk memerintah negara selepas tamat proses pilihan raya. Keadaan seumpama ini bagus untuk meluaskan lagi skop pemikiran minda dan harus saya akui, mahasiswa marcapada ini lebih bijak berfikir menimbang tara baik dan buruk. Sekali lagi, unsur pemikiran kritis memainkan peranan untuk semua ini. Apa yang saya ingin tekankan, dalam kita kalut memikirkan siapakah yang patut memerintah negara selepas ini, semangat yang ada usah dibakar untuk menyengat sesama sendiri. Dalam kita sibuk memastikan pemimpin yang terbaik memegang tampuk pemerintahan negara selepas ini, tidak perlu rasanya berbalah sesama kita sehingga bermasam muka, ponteng kelas, mengabaikan pelajaran dan paling penting MEMUTUSKAN UKHUWAH SESAMA KITA. MashaaAllah! Pada akhirnya, selepas tamat pilihan raya, kita semua adalah mahasiswa biasa yang tugas hakikinya perlu menamatkan pengajian di universiti walau siapapun yang mengambil alih pemerintahan negara selepas ini. 

Jangan pernah hampakan harapan mak ayah dan diri sendiri untuk menggenggam segulung ijazah yang pastinya mampu mengubah kehidupan kita dunia dan akhirat. Barang perlu diingat, hanya kita yang mampu menolong diri kita untuk terus hidup di muka bumi ini. Di penghujung kisah hidup, hanya ada kita dan amalan-amalan kita serta doa daripada ahli keluarga untuk bekalan Hari Abadi. Bukan pemimpin yang kita canangkan, bukan idola yang kita sanjung. Oleh itu, hargailah peluang melanjutkan pelajaran di menara gading yang anda milik sekarang kerana ilmu juga sebahagian daripada bekalan untuk akhirat yang kita akan bawa bersama. Bukan maksud di hati untuk memadam semangat pilihan raya kalian, tetapi sekadar ingin meletakkan sedikit tanda aras tahap semangat kita semua yang sedang membahang! Sekali lagi, pada pandangan jujur saya, tidak mengapa jika kalian ingin menyokong dan berkempen untuk sesiapa pun yang kalian rasa layak, namun biarlah perkara tersebut di luar kampus dan bukannya ketika waktu kuliah mahupun waktu rakan-rakan anda sedang mengulangkaji pelajaran. Utamakan yang utama dan variasikan hidup anda dengan pengalaman! Sebelum saya akhiri kalam ini, ada sedikit pesanan daripada YDP MPP UiTM Shah Alam Sesi 2012/2013, Saudara Azraful Bin Azman untuk kalian semua:




p/s: Maaf seandainya post ini mengguris hati sesiapa. Tiada langsung niat di hati untuk tujukan post ini kepada sesiapa. Hanya sekadar nukilan rasa hati. Saya juga manusia yang lemah, masih banyak yang kurang daripada pihak saya selaku Majlis Perwakilan Pelajar dan seorang insan. Harap dapat bersama kita memperbaik diri! Selamat Mengundi!

Sabtu, 19 Januari 2013

Secawan Teh Bercampur Madu

Bismillahirahmanirrahim,

Assalammualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia (ini teks ucapan PM ke apa nih?? hahaha!) Jangan terkejut, ini bukan pengumuman Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha, tetapi sekadar melaksana sunnah pembuka bicara. Lama tak jenguk diari usang ni. Kalut dengan diri sendiri yang tak pernah berkesudahan sampai tiada ruang mencoret warna hidup di sini. Walau apa pun, selamat bercuti untuk semua mahasiswa dan mahasiswi di seluruh negara (yang kat luar negara kalau tengah nak exam tu mintak maap la ye :p) dan semoga cuti anda dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat, InsyaAllah.


Pernah tak anda terfikir hidup anda terlalu lama tempoh masa yang diambil untuk pelbagai perkara berlaku dalam hidup anda? Mestilah pernah kan. Contoh paling utama: "bilalah aku nak kahwin?" , " bilalah nak habis belajar ni, menyampah tengok kertas exam setiap sem!", etc. Jangan tipulah kata tak pernah! Saya sendiri pun setiap hari rasa macam tu. Tapi kadangkala kita terlepas pandang dalam menilai perkara yang terjadi disekeliling kita setiap hari. Bila kita duduk dan bermuhasabah diri, pasti akan terlihat macam video klip perjalanan yang berlaku dalam hidup kita dan kenangan-kenangan yang tersisa daripada perjalanan hidup tersebut. Umpamanya diri saya sendiri (wahhh bajet retis uollz bagi contoh diri sendiri, tapi kata blog sendiri, mestilah nak cerita pasal diri sendiri, hehehehe~), pemilihan sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam mewakili Fakulti Undang-Undang adalah sesuatu yang diluar jangkaan dan perancangan hidup saya. Jujur saya akui, pernah terlintas niat untuk ada pada kedudukan hari ini, namun saya kambus niat tersebut atas dasar kurang keyakinan diri. Namun, rahsia Allah tentang takdir kita siapa yang tahu? Peluang dan jalan yang dilorongkan Allah membawa takdir saya seperti hari ini. Kini, saya punyai 50 orang adik beradik yang saya boleh sebutkan kesemua lima puluh nama mereka dalam sekelip mata (classmates sendiri pun ambil masa satu sem nak ingat) sedangkan baru beberapa bulan sahaja saya mengenali mereka. 

Part of my brothers and sisters. Love them sooo much =')

Ramai sahabat yang bertanya kepada saya, "kenal tak MPP fac aku?". Tanpa bertangguh saya akan menyebut nama MPP fakulti mereka kerana ukhuwah yang terjalin antara kami begitu utuh untuk meletakkan mereka semua di satu sudut istimewa dalam hati saya. Tak kurang juga ada sahabat yang pelik bila saya boleh mengenali MPP fakulti mereka dengan baik. Its all about the bond between us. Kami bekerja dengan rasa hormat-menghormati dan lindung-melindungi antara satu sama lain tak ubah seperti adik beradik, isi dan kuku mahupun seperti secawan teh bercampur dengan madu. Kenapa secawan teh bercampur madu? Kerana lumrah teh yang berwarna kekuningan tak berubah warnanya bercampur dengan madu namun bertambah manis rasanya! Begitu juga saya umpamakan ukhuwah antara kami; semuanya pemimpin namun apabila disatukan bersama dengan pengalaman masing-masing yang bernilai harganya, kami jadikan ia pengalaman yang terindah!


Saya juga belajar untuk lebih menghargai rakan-rakan disekitar saya setelah menjawat jawatan sebagai seorang wakil pelajar. Setiap rakan-rakan yang berada disekitar saya, mereka bagaikan pakaian untuk saya, kaki dan tangan untuk saya yang mana melengkapi hidup saya sebagai seorang mahasiswa. Tanpa bantuan dan pertolongan mereka semua, saya tidak mampu untuk berada di tahap ini. Paling mengujakan, sewaktu pilihan raya kampus hampir tiba tempoh hari. Segala bentuk sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan di fakulti daripada batch yang sama mahupun junior dan senior terlihat dengan begitu meluas! Walaupun jentera saya cuma dua orang sahabat saya yakni Encik Ahmad Aliff Bin Mashuri selaku campaign manager dibantu oleh Encik Muhammad Izwan Bin Ishak yang sangat berdedikasi menjalankan tugas hingga ke subuh hari, namun kempen di twitter dan facebook daripada rakan-rakan yang lain sungguh mengharukan hati kecil ini =') (Azim Razak, Cyrill, Nazrul Anas, Sofia Syikin, Khaliq- penyebar maklumat tegar Twitter, Shira, Nash, Lina, Aina dan Rakan-Rakan SCLC- berkempen di Facebook) Seriously, sangat terharu bila rakan-rakan sanggup keluar membuang undi walaupun mereka sibuk dengan kuliah sehingga Fakulti Undang-Undang berjaya mencatat peratusan keluar mengundi seramai 87%. My highest gratitudes sudah tentu kepada abang-abang dan kakak-kakak LLB yang sudi turun beramai-ramai dari AL ke Cempaka untuk mengundi (err bajet tahu je diorang undi siapa pulak kan, hahaha!) disebalik kesibukan kalian menghabiskan pengajian. Mereka juga ibarat secawan teh bercampur madu; penambah rasa manis kepada kehidupan seharian dengan gaya mereka sendiri.

Sehari sebelum tarikh membuang undi a.k.a hari terakhir kempen. Muka baru lepas pengsan semalamnya -.-'

Begitu juga dengan sahabat-sahabat sejati saya, Shira, Shasha dan Ayu yang sentiasa bersama saya dalam suka mahupun duka, dalam tawa mahupun kemarahan saya, dalam kesibukan mahupun kesenggangan masa saya untuk mereka. Tak pernah putus kata-kata semangat mereka lontarkan untuk saya. Sekali lagi, jujur saya akui, saya takut kehilangan mereka setelah saya menjadi seorang wakil pelajar seperti yang selalu berlaku kepada kebanyakan wakil pelajar terdahulu. Namun, syukur alhamdulillah, mereka masih menerima saya seadanya dan paling utama memahami komitmen saya dengan bertolak ansur dan masih lagi sudi membuat kerja berkumpulan bersama saya (walapun kadang-kala terpaksa siapkan kerja tanpa duduk berbincang bersama, huhuhu). 

From left, Najmu, Ayu, Me, Shira and Shasha =')
Apa yang saya ingin tekankan di sini, kadang kala kita tak pernah mengambil masa untuk evaluate all these things sedangkan Allah kurniakan kita akal fikiran untuk menilai setiap perkara yang terjadi disekeliling kita sehari-hari. Tujuannya adalah untuk menimbulkan rasa syukur atas semua rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Namun, sebagai manusia biasa kita seringkali membazirkan peruntukan masa dalam sehari tanpa ada ruang untuk menilai diri kita sendiri sebelum bermulanya hari baru. Bila kita tersedar, pelbagai perkara telah berlalu begitu sahaja dan akhirnya kita sampai ke persimpangan hidup yang baru meninggalkan pelbagai peristiwa yang mungkin besar impaknya terhadap diri kita jika dfikirkan dengan teliti. Sebab itulah kita akan tend to think, bila nak begitu dan bila nak begini. Its all because we neglect the thing happened around us! Seperti juga teh yang bercampur dengan madu, zahirnya nampak seperti tiada perubahan terhadap teh tersebut namun jika kita hirup walaupun sedikit daripada teh tersebut, maka akan terasa nikmat manisnya teh bercampur madu tersebut. Akhir kata, pesanan untuk diri sendiri dan semua, nikmati hidup ini dengan belajar sedaya upaya mensyukuri dan menghargai setiap perkara yang terjadi dalam kehidupan sehari-hari.



p/s: Sekumpulan singa terkapar di tengah hutan dan mati kelaparan, sementara ditengah-tengah kota seribu angjing sedang memakan daging-daging kambing. Kadang kala, hamba abdi tidur beralaskan sutera manakala orang-orang terhormat tidur beralaskan tanah- Imam Syafie. Renung-renungkan!