Isnin, 29 Ogos 2011

Minal Aidil Wal Faizin

Salam Aidilfitri untuk semua!

Tahun ini memang terasa tak seronoknya beraya. Tak tahu kenapa tapi memang langsung takde mood nak beraya pun sampaikan aku kemas bilik pun ala kadar je. Selalunya time petang raya ni aku sibuk duk kemas bilik macamlah nak hias jadi bilik pengantin. Tapi sungguh bagai dikata, tahun ni memang langsung tak bersemangat nak raya. Mungkin sebab nenek dah tak ada untuk tahun kedua dan ditambah dengan kepergian pak cik sulung aku ke Mekah untuk menunaikan umrah dan beraya di sana sekali.

Sesungguhnya Eid-ul-Fitr itu sendiri bermaksud pulang ke fitrah asal. Setelah sebulan menahan diri di siang hari daripada melakukan perkara yang membatalkan ibadah puasa, maka kita akan pulang semula kepada rutin kita sehari-hari sebagai memenuhi fitrah manusia yang azali. Di samping itu, amalan bermaaf-maafan juga merupakan amalan yang digalakkan ketika menyambut Aidlifitri untuk menyucikan dosa sesama manusia setelah menyucikan diri di bulan Ramadhan. Indahnya aturan Allah untuk kita semua. Terpulanglah kepada kita untuk melaksanakannya atau tidak.

Di Malaysia, hari kemenangan kita disambut dengan begitu meriah sekali. Yang merantau pulang ke kampung halaman, dan yang tiada kampung halaman (macam aku ni) meraikannya dengan cara sendiri bersama sudara dan handai. rezeki buat yang kurang berkemampuan pula melimpah ruah seiring dengan amalan sedekah yang menjadi kebiasaan bagi kebanyakn penduduk Malaysia. InsyaAllah setiap rakyat di Malaysia ini merasai nikmat berhari-raya walaupun ada segelintir yang merasa hina dan dina. Namun, ingatlah, sekurang-kurangnya di Malaysia kita raikannya dengan keadaan yang harmoni. Bayangkan jika kita terpaksa berhari-raya dengan keadaan seperti di Palestin yang sampaikan nak solat Jumaat di masjid pun di sekat-sekat. maka dengan itu, berbanggalah dengan keharmonian ynag masih dikecapi di bumi bertuah ini dan lestarikanlah untuk selamanya kerana sesungguhnya kemerdekaan kita ini bukanlah mutlak. Sejajar dengan itu, aku ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke-54 buat seluruh rakyat Malaysia yang akan disambut pada Hari Raya Kedua nanti InsyaAllah.

p/s: Sedihnya bila tengok jiran-jiran seronok balik kampung berhari-raya sedangkan aku sendirian denagn ibu bapaku di sini. Tiada atuk dan nenek untuk menyambut hari bahagia ini bersama-sama..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan