Ahad, 28 Ogos 2011

Menjelang Syawal Dewasaku

Termaktub sudah dalam suratan hidup manira bahawa kali ini 1 Syawal yang bakal menjelma akan disambut dengan suasana yang berbeza. Kendatipun sibuk dengan pelbagai urusan duniawi yang tiada berpenghujung, manira tetap sempat meluangkan sepertiga masa yang di beri Allah untuk menambah saham ukhrawi di bulan yang mulia ini. Dalam kesibukan itu, terselit jua ceritera-ceritera perihal hidup rakan-rakan manira yang berwarna-warni untuk melengkapkan salasilah riwayat hidup manira ini. Ada yang berduka namun di sebalik duka itu terselit jua kegembiraan buat segelintir yang lain. Inilah yang dikatakan rona kehidupan. Luka buat kita namun ubat buat yang lain....

7 Hari Sebelum Aidilfitri...

Telefon pejabat manira yang berdering mematikan langkah manira untuk pulang. Sebuah panggilan di petang Ramadhan yang memang tidak diundang mengusutkan fikiran manira. Betapa manira perlu menghadiri kursus selepas seminggu Aidilfitri kelak. Ya. Panggilan telefon tadi datangnya daripada Dekan untuk memberi informasi awal kerana faksimili yang diterima daripada Canseleri baru sahaja sampai ke tangannya. Memandangkan manira akan menghadiri seminar di Cheras selama tiga hari dan kemudiannya akan terus bercuti untuk berhari raya, maka panggilan telefon lewat petang itu harus diadakan jua. Mujurlah manira telah menggantikan kelas untuk raya minggu lepas. Jika tidak, pasti terbeban untuk menggantikan kelas sempena manira bercuti raya dan juga kelas semasa manira berkursus. Pelajar-pelajar maniralah yang akan menjadi mangsa.

Usai menjawab panggilan telefon tersebut, manira terus menuju ke kereta dan singgah sebentar di bazar Ramadhan yang berhampiran untuk membeli sedikit juadah berbuka puasa sebagai persediaan sekiranya terperangkap dalam kesesakan jalan raya sehingga waktu berbuka tiba. Selesai membeli sedikit kuih cara berlauk kegemaran manira, kereta yang dipandu manira terus memecut laju untuk pulang ke rumah. Namun, malang tidak berbau, ketika manira hampir tiba di simpang yang menuju ke taman perumahan manira, manira terlanggar seorang pejalan kaki yang tiba-tiba meluru laju ke arah kereta manira. Tersirap darah manira apabila melihatkan keadaanya yang melambung hampir sekaki di udara dan terlentang di atas jalan berlumurkan darah. Seribu rasa menerjah sukma dan kalbu manira mengenangkan nasib pejalan kaki tersebut. Matikah dia? Hidupkah dia? Apa yang akan terjadi kepadanya dan manira jua kelak?

Tanpa berlengah, manira yang dibantu orang ramai yang melihat kejadian tersebut mengangkat pejalan kaki tersebut dan manira terus membawanya ke hospital berdekatan untuk diberi rawatan kecemasan secepatnya. Kata doktor mujurlah dia dibawa ke hospital dengan segera kerana tidak banyak darah yang hilang dari tubuhnya. Namun kecederaan dalaman yang dialaminya agak parah. Manira beruntung kerana hospital tersebut turut menempatkan rakan manira Liyana yang turut berada di situ atas panggilan kecemasan yang memerlukan khidmat pakarnya. Sementara menunggu semua hal siap diuruskan, manira dijemput oleh Liyana untuk berbuka puasa di kafetaria hospital tersebut. Sambil menunggu makanan tiba, manira yang masih terkejut dengan insiden tersebut meluahkan perasaan kepadanya sambil ditenangkan oleh Liyana dengan teknik psikologi yang dipelajarinya dahulu. Berkesan! Lalu untuk mengambil hatinya, manira bertanyakan tentang sebab dia masih berada di hospital kala ini. 

Menurut Dr. Liyana, ada seorang pesakitnya yang telah sembuh dari penyakit paru-paru berair kini kembali sakit. Namun hasil diagnosis yang dilakukan, kanak-kanak tersebut menghidap penyakit lain pula iaitu jantung berlubang dan khidmat pakar kanak-kanaknya diperlukan bagi mengesahkan hasil diagnosis tersebut. Khabarnya kanak-kanak tersebut masih lagi bayi dan baru sahaja berusia 5 minggu. Simpati manira melimpah demi mendengarkan perkhabaran tersebut. Lantas, tika itu juga manira menerima panggilan telefon daripada pihak polis yang mengatakan bahawa pejalan kaki yang dilanggar manira itu telah sedar dan ternyata dia sebenarnya sedang melarikan diri daripada dikejar polis kerana terlibat dalam satu rompakan kedai emas minggu lepas. Namun, yang menjadi beban di jemala manira sekarang adalah kesnya akan dibawa ke mahkamah selepas raya nanti dan manira akan dipanggil menjadi salah seorang saksi untuk kes tersebut. Haihhhh.. Sudahlah manira terpaksa berkursus selepas cuti raya kelak, kini bertambah satu lagi beban untuk menjadi saksi atas kes yang tidak manira tahu hujung pangkalnya.

Lalu, manira diminta untuk ke balai polis dan memberikan keterangan yang selanjutnya. Manira yang akur dengan prosedur tersebut segera menelefon bonda manira untuk memberitahunya akan kelewatan manira pulang ke rumah hari ini atas urusan kerja. Tidak manira khabarkan kepadanya lagi perihal yang terjadi kerana bimbangkan kesihatannya yang mungkin tergugat akibat tekanan darah yang tinggi sekiranya diperihalkan kejadian tersebut kepadanya. Tiba di balai polis, manira terpandangkan kelibat Izzah Azhani, sahabat lama manira yang kini telah mempunyai firma guaman dan juga sebuah pusat latihan keyakinan diri di Klang. Bukan sebarang peguam teman manira yang seorang ini! Pusat latihan keyakinan diri yang diasaskannya bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri golongan remaja dan juga mereka yang berkerjaya terutamanya dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Menarik tentang pusat latihan Izzah yang diberi nama Truconia Training Centre (Truconia = True Confidence By Nur Izzah Azhani) ini adalah setiap peguam baru yang bekerja di firmanya akan diberi latihan selama 3 bulan secara percuma di sini. Selepas itu, abrulah mereka akan diberi jawatan tetap di firma guamannya.

Berbalik kepada insiden pertembungan kami, Izzah menyatakan bahawa dia ke balai polis tersebut untuk menemani anak guamnya yang membuat laporan polis tentang pecah amanah dana syarikat oleh salah seorang eksekutifnya. Nak di jadikan cerita, anak guam kepada Izzah merupakan sahabat baik manira sendiri.

" Ini ke anak guam kau Izzah??" tanya manira dengan penuh rasa terkejut.

"Haah, yang nilah anak guam aku. Kenalkan, ini Amirulfaiz or you can just call him Mirul. Mirul, this is one of my best friend, Hidayah. She used to be a lawyer not long ago, but now she's a lecturer." Salam perkenalan dihulurkan Izzah buat aku dan Mirul yang memang telah lama berkenalan.

" Aku kenal lama dah dia ni Izzah!! Kawan susah senang aku ni.. Kan Mirul kan??"

"Yep. Betul tu Puan Izzah. Dayah nie dah lama saya kenal. Kami memang rapat dari sekolah menengah lagi. Tapi tak sangka pulak Puan ni kawan baik dengan Dayah." Sampuk Mirul menjelaskan situasi sebenar.

"Lahhhh... Kawan rapat rupanya! Kecik sungguh dunia ni." Izzah yang masih terkejut meluahkan rasa.

" Ko bukak bisnes apa sampai jadi kes pecah amanah nie?? Tak bagitau aku pun.." tanya manira, ingin tahu.

" Alahai.. Takde apa sangat pun, cuma bisnes keci-kecik je. Baru nak mu..." tanpa sempat Mirul menghabiskan ayatnya, Izzah menyampuk

"Bisnes kecik apanya Dayah... Dah sampai taraf international dah ni.. Company software games in 3D. Branding sendiri tu." sampuk Izzah menerangkan dengan terperinci latar belakang perniagaan anak guamnya.

"Pergh! Gila gempak ko Mirul! Macam ni punya besar bisnes ko tak bagitau aku langsung pun.. Sampai hati ko.."

"Eh eh. Janganlah camnie.. Aku memang nak bagitau ko, tapi masa tu aku macam tak sure lagi boleh jalan ke tak bisnes nie. Tu yang aku diam je dulu. Lagipun ko kan sibuk buat masters tiga tahun lepas. Tu yang aku tak nak kacau ko tu. HAHAHAHA!" pujuk Mirul meredakan keadaan.

Selesai berbicarawara di depan balai polis, kami pulang ke rumah masing-masing dengan janji untuk bertemu di hari raya nanti. Sebelum berpamitan, Izzah sempat berkhabar kepada manira bahawa Hakim Muda Nurfarhan akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga nanti di Johor Bahru. Katanya rumah terbuka tersebut disekalikan dengan kenduri aqiqah anak keempatnya yang baru sahaja dilahirkan 5 bulan yang lalu dan juga bersempena dengan kenaikan pangkat yang baru diterimanya seminggu sebelum Ramadhan menjelma tempoh hari. Gembira manira mendengarkan perkhabaran tersebut. Walaupun jemputan daripada empunya badan sendiri belum sampai ke telinga manira, namun hal tersebut sudah cukup menggembirakan hati manira kerana manira faham dengan bebanan tugasnya yang menuntut banyak masa dihabiskan di mahkamah.

Apa yang lebih menarik, kini Hakim Muda Nurfarhan atau lebih mesra dipanggil sebagai An, kini sedang dalam proses menghakimi inkues kematian rakan kami yang dikasihi Abdul Khaliq Nazeri yang dilaporkan hilang ketika memanjat Gunung Kilimanjaro untuk ekspedisi mendaki gunung berapi solonya. Namun, setelah dua minggu, pihak polis mendapati Khaliq sebenarnya telah pulang ke Malaysia dan dijumpai di dalam gaung berhampiran dengan kawasan Genting Sempah. Polis mempercayai terdapat unsur-unsur jenayah disebalik semua kekalutan yang berlaku. Kendatipun, kini bukti-bukti yang dijumpai pihak polis kesemuanya menjurus kepada kesalahan pengesahan mayat. Terdapat pemalsuan pengesahan mayat yang dipercayai dilakukan oleh salah seorang rakan kongsi perniagaannya dan kini mahkamah telah pun megesahkan bahawa mayat yang dijumpai di Genting Sempah tersebut bukanlah mayat Khaliq.

Kes tersebut menjadi isu yang hangat di Malaysia apatah lagi kredibiliti An diragui kerana beliau masih muda untuk menghakimi kes berprofil tinggi. Walaubagaimana pun, kes tersebut disabitkan sebagai kes jenayah dan rakan kongsi Khaliq telah didakwa atas tuduhan memberi laporan palsu dan cubaan membunuh kerana Khaliq dijumpai di dalam sebuah rumah usang dalam keadaan berlumuran darah. Kes ini turut diserikan lagi dengan kehadiran teman-teman kami yang mewarnai pasukan perbicaraan. Pasukan pendakwa raya diketuai oleh Acap selaku Timbalan Ketua Pendakwa Raya manakala pasukan peguambela diketuai oleh saudara Harshan atau lebih dikenali sebagai Shawn. Khaliq pula kini dilaporkan semakin stabil dan akan pulang ke Bidor untuk berhari raya dengan menggunakan pesawat peribadinya sendiri.

Nama Acap pula kini semakin meniti di bibir rakyat Malaysia sebagai calon Ketua Pendakwa Raya yang baru setelah kehandalannya di pasukan pendakwa raya dibuktikan melalui kes pembunuhan kejam sebelum ini. Bertemankan seorang isteri yang setia dan tiga orang anak, beliau kini giat menjalankan usaha membawa keadilan kepada semua rakyat terutamanya mereka yang tertindas. Selain kerjaya tetapnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kuala Lumpur, beliau turut menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma di waktu senggangnya kepada mereka yang memerlukan terutamanya dari golongan yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan khidmat nasihat peguam.

Tersentak dari lamunan mengingati rakan-rakan manira tatkala mendengarkan laungan bonda manira yang berkicau kerana mengelamun walaupun telefon bimbit di tangan menjerit minta di angkat. Manira tersenyum seorang diri ketika melihat pemanggil yang masih setia di talian menunggu manira menghubungkan kami menerusi telefon. pasti ada sesuatu yang ingin diperkatakan Nadhila. Jika tidak masakan dia menelefonkan jauh malam begini.

Nadhila : Hello. Dayah ko busy ke? Aku nak ajak kau buka puasa esok. Ko free tak?? Esok ko tak mengajar kan?

Manira : Hello. Ha, Dila! Esok?? InsyaAllah boleh. Nak buka kat mana?

Nadhila : Aku ingat nak ajak kau makan dekat Curve, ada satu restoran ayam penyet best kat situ. Tapi kan.. Aku bawak anak aku sekali dengan husband aku. Ko ok tak?? Bukan apa, anak aku tu selalu tanya bila nak dinner dengan kau. Dah lama katanya tak jumpa dengan kau. Kebetulan suami aku pun tak kerja esok.

Manira : Ohhhh. Eh aku tak de hal punyalah. Bukannya aku tak kenal pun suami ko tu. aku pun rindu nak jumpa dengan anak ko tu! Yelahhh.. Tak lama lagi dia nak dapat adik baru.. Tak boleh nak bermanja-manja dengan mummy dia lagi.. HEHEHEHE..

Nadhila : Eh? Hahahaha! Lambat lagi.. Tujuh bulan lagi masa yang dia ada untuk bermanja-manja dengan aku. HAHAHA! Kalau macam tu, esok ak pick-up kau dekat rumah dalam pukul 5.30 macam tu. Aku takut jalan jam nanti tak dapat tempat pulak nak makan.

Manira : Oh okay! Aku tunggu kau esok. See ya~!

Nadhila : See ya~! Bye dayah..

Begitulah alkisahnya. Jika tidak bekerja, sesekali manira akan diundang atau mengundang teman-teman manira untuk berbuka puasa di rumah mahupun di luar. Keakraban yang ditonjolkan menjadi penanda aras ikatan persahabatan kami. Namun, syawal yang bakal menjelma kali ini membawa seribu satu makna buat manira kerana Allah telah mengizinkan manira untuk melihat rona kehidupan di alam dewasa sewaktu umat Islam berhari-raya. manira berharap dan sentiasa memanjatkan doa agar peluang seumpama ini tidak di tarik balik oleh Allah S.W.T di masa hadapan.

p/s: Cerita untuk Encik Khaliq itu diolah sendiri olehnya dan diubah suai mengikut keadaan. Kalau ikut jalan cerita dia lagi seram dari tu. Takut pulak nanti menjadi doa. Kalau jadi betul-betul sumpah seram! HAHAHAHA! Apa yang pasti, aku harap dapat beraya dengan korang semua bila kita dah kerja!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan