Ahad, 8 Mei 2011

Mengait Kata Bersulam Ilham

Hari ini aku tergerak untuk menulis tentang karya-karya penulis-penulis novel di Malaysia. Ilham ini hadir tatkala aku sedang memandu pulang dari Kuala Lumpur ke Kajang. Hahahahaha! Tak boleh blah sungguh timing ilham nak datang ye~ Walau bagaimanapun, aku tetap nak tulis pasal benda ni kerana apabilas aku membandingkan jalan cerita ataupun plot sesebuah cerita dalam novel Inggeris ternyata lebih ironik dan lebih menarik. Plot yang dihasilkan oleh kebanyakan novelis Inggeris mampu memukau dan menarik perhatian pembaca seawal bab 1 dalam novel-novel yang dihasilkan.

Bukan niat di hati untuk mengagung-agungkan orang luar, tetapi sekadar mengambil inspirasi untuk kita bersama memperbaiki diri. Contoh yang paling ketara buat masa ini, bagi pendapat aku, dapat dilihat menerusi novel-novel John Grisham yang mampu menyelitkan unsur-unsur kemasyarakatan dan undang-undang pada masa yang sama. Tak ketinggalan juga novel-novel Jodi Picoult yang mampu membuatkan hati tersentuh dan pada masa yang sama juga mampu menarik seluruh imaginasi anda untuk turut merasai perasaan watak-watak yang digarap kemas dalam setiap karya beliau. Seorang lagi penulis yang aku begitu gemari karyanya ialah Khaled Hosseini. Khaled Hosseini ini merupakan seporang penulis yang berasal daripada Afghanistan dan karyanya yang paling aku gemari ialah novel yang bertajuk 'A Thousand Splendid Suns'. Melalui cerita ini, aku mendapat pelabagi informasi tentang hidup kaum wanita di Afghanistan sekitar tahun 1950-an hinggalah sekarang kerana mereka sangat berpegang teguh dengan adat resam dan budaya tempatan. Buku ini dua kali aku pinjam kat Perpustakaan Negara sebab aku mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan buku ini. 



Kisah ini memaparkan suka duka hidup seorang wanita yang bernama Maryam apabila dia lahir sebagai seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah di rumah keluarga bangsawan terkenal Afghanistan sekitar tahun 1950-an dengan salah seorang anak bangsawan tersebut yang sudah pun berkahwin. Dia dicemuh ibunya sendiri sehingga dia berasa malu untuk hidup diatas muka bumi ini. segalanya tentang hidup Maryam ini diceritakan sehinggalah ke hujung usianya.

Begitu juga dengan novel John Grisham yang bertajuk The Confession yang mengisahkan pengakuan yang dibuat oleh seorang pesalah seksual dan juga pembunuh disaat orang lain akan dihukum akibat kesalahan yang dilakukannya. Pesalah tersebut cuba untuk meyakinkan pendakwa raya dan juga hakim untuk menarik balik hukuman yang dijatuhkan ke atas mangsa keadaan tersebut. Menarik kan?



Apa yang aku cuba buktikan disini ialah, jika kita perhatikan, kebanyakan novelis moden di negara kita seakan-akan ketandusan idea untuk mencari isu-isu masyarakat yang lebih terkesan di hati pembaca. Plot yang dihasilkan seakan-akan cliche dengan novel-nevel yang telah dihasilkan sebelumnya dan jika penulis perempuan asyik dengan tema percintaan romantis ataupun konflik rumahtangga. Penulis lelaki pula tidak habis-habis dengan imaginasi mereka tentang aksi-aksi dan thriller tanpa diselitkan mesej serta plot yang boleh memberikan kelainan dari segi kompleks serta mampu membuatkan pembaca mendapat pelbagai informasi disamping mampu menjiwai jalan cerita tersebut. Dalam erti kata yang lebih mudah, kebanyakan novelis di Malaysia masih gagal untuk menjurus ke arah garapan karya yang lebih bermakna dan memberi kesan terhadap pembaca.

Namun, dalam kemelut ini terselit jua butir-butir bintang yang masih mampu memberikan sinar kepada bidang penulisan kreatif di Malaysia. Contoh novelis moden yang paling sesuai kurasakan ialah Ramli Awang Murshid dan juga Sharifah Abu Salem. Ramlee Awang Murshid sememangnya terkenal dengan penulisan bergenre thriller dan aksi serta fantasi yang menuntut ketajaman akal pembaca untuk berimaginasi. Karya-karya Ramlee Awang murshid biasanya mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana beliau memperuntukkan waktu yang banyak untuk menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai jalan cerita yang bakal dihasilkan.  Jika anda berksesempatan ataupun pernah membaca karyanya pasti anda seakan-akan tidak mampu membezakan yang fiksyen ataupun fakta kerana beliau menyulam plot ceritanya bersama fakta-fakta daripada hasil kajian beliau untuk 'menghidupkan' lagi jalan cerita tersebut. Kepada peminat novel beliau pastinya anda mengikuti perkembangan siri novel Bagaikan puteri yang kini sudah sampai ke siri kelimanya yang bertajuk Sutera Bidadari.






          





Sharifah Abu Salem pula terkenal sebagai seorang penulis novel dan juga penulis skrip drama TV yang berjaya. Karyanya sering berkisar tentang realiti kehidupan masyarakat dan pasti menerapkan elemen kekeluargaan yang sarat dengan permainan emosi. Pokok pangkalnya kualiti novel yang dihasilkan amat tinggi pada pandangan aku dan tidak hairanlah jika drama Trilogi Cinta yang diadaptasi daripada tiga novel sirinya mampu mencapai rating penonton sehingga 1.5 juta pada setiap siaran!

Kesimpulannya, aku pasti penulis kreatif di Malaysia punya idea yang segar dan bernas cuma masih belum dikembangkan ideanya menjadi buah garapan fikiran. Namun, suatu hari nanti sekiranya lebih banyak bengkel penulisan kreatif dan perbincagan sesama penulis diadakan untuk berkongsi pengalaman menulis diadakan, aku pasti karya novel di negara kita akan mencapai zaman kegemilangannya seperti zaman kegemilangan Ranjau Sepanjang Jalan, Salina dan Siti Nurbaya.




p/s: Tapi aku juga turut menyukai karya Anis Ayuni dan juga Aisya Sofea yang mampu menawan hati perempuanku~ Turut mencuit hatiku adalah karya garapan penulis baru Wana Amani.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan