Rabu, 17 November 2010

Kabut Yang Semakin Berkabus,Tawar Yang semakin Hambar

Mengantuknya hari nie,tapi rasa macam nak menaip kat blog ni,maka aku pun meluangkan sedikit masa untuk blog tersayang ini walaupun aku hanya tidur selama 3 jam sahaja semalam!Hari ini seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha untuk tahun 1431 Hijrah.Namun bagi aku dan keluargaku,hari ini hanyalah hari yang biasa dan disambut dengan kedukaan.

Ajal,maut,jodoh dan pertemuan semuanya terletak ditangan Tuhan.Namun apabila perkara tersebut hadir dalam hidup kita,pastinya pelbagai perasan bisa menyelubungi jiwa.Bagi aku dan seluruh keluargaku,tahun ini raya tidak membawa erti kemeriahan atau kegembiraan.Kehilangan orang2 tersayang cukup memilukan hati.Bermula dengan Hari Raya Aidilfitri yang pertama kali disambut tanpa nenda tercinta yang meninggalkan kami semua tanggal 1 hb Jun 2010.Disaat kami baru ingin menyesuaikan diri dengan kehilangan tersebut,kami dikejutkan sekali lagi dengan kehilangan pak cik yang amat kami kasihi.Pemergiannya yang kuanggap 'mengejut' pada 3 hari yang lepas sungguh mendukacitakan dan meluluhkan hati kami semua.Dia seorang pak cik yang sangat baik.Sangat prihatin dengan semua anak saudaranya.Pemurah dan murni hatinya menyebabkan aku terasa suatu kehilangan yang besar,apatah lagi ibuku dan seluruh kerabatnya yang sememangnya rapat dengannya.Pendarahan berlebihan akibat pembedahan kecil yang meragut nyawanya menyebabkan kami sukar untuk menerima kenyataan pemergiannya.

Lantas,hari ini kurasakan sangat hambar dan tidak bermakna.Hajatnya untuk menyambut hari raya haji bersama kami dirumahnya tidak kesampaian.Namun kami tetap merealisasikan impiannya dengan mengadakan perhimpunan keluarga dirumahnya untuk menziarahi dan menemani balunya dirumahnya sendiri.Sungguh,aku masih menganggap bahawa dia masih ada sehinggakan aku tidak sanggup untuk mengucup jenazahnya kerana aku merasakan bahawa dia bukan meninggal tetapi sedang tidur dengan nyenyak kerana sememangnya dia gemar untuk tidur seketika disiang hari!Tatkala aku menziarahi pusaranya yang jelas lagi nyata masih merah tanahnya,aku seakan sudah tidak berperasaan.Pandangan kosong kulemparkan ke arah pusaranya yang berdekatan dengan pusara arwah nenekku.Aku tetap yakin yang dia hanya tidur buat sementara waktu.Namun,sebaik tiba di pusara nendaku,air mataku tidak tertahan lagi.Segalanya kucurahkan disitu dan sejurus aku meninggalkan kawasan perkuburan itu,tangisan kesedihan mengalir tanpa henti.

Aku sedar,segala yang hidup pasti akan mati suatu hari nanti,cuma aku tidak bisa menerima punca kepergiannya yang kuanggap mampu dielakkan sekiranya lebih cepat dibawa ke hospital.Walau bagaimanapun,harus kuakui,segalanya telah ditentukan Allah.Setiap anak manusia yang lahir dimuka bumi ini telah berjanji semasa di dalam rahim ibunya tentang segala2nya tentang perjalanan hidupnya di muka bumi ini..Lalu kubiarkan saja kabut yang semakin berkabus untuk terus menyelubungi perjalanan hidupku yang masih panjang(insyaAllah) kerana aku yakin tawar yang kurasakan semakin hambar ini pasti akan menemui kemanisannya kembali!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan