Isnin, 13 Oktober 2014

Susur Pemecah Infiniti

Assalammualaikum. Hello!

Hujan lebat ketika entri ini ditulis. Terdetik rasa hati nak menukilkan sedikit isi hati yang mungkin tampak biasa di pandangan orang lain. Tak mengapa, ini ruanganku sendiri, jadi walaupun isinya biasa sahaja namun ia dinukilkan dengan caraku sendiri.

Pasti kita semua pernah melalui satu saat ini --> kesukaran untuk memulakan sesuatu ayat/ucapan/karangan dalam pelbagai situasi rawak. Contohnya seperti sekarang, walaupun aku sudah punyai idea pokok untuk menukilkan entri ini namun aku masih menghadapi kesukaran untuk menyusun ayat yang menjurus ke arah idea pokok itu. Samalah juga halnya dalam mencari dan memaknakan kehidupan kita. Pada dasarnya, setiap daripada kita sudah pasti mempunyai target/matlamat/jangkaan hidup masing-masing bukan? Walaupun anda mengatakan bahawa anda tidak tahu arah tuju hidup anda, itu juga menunjukkan bahawa anda telah menetapkan hidup anda untuk tidak mempunyai hala tuju hidup yang tetap. Pening? Mungkin sepening itu jugalah intuisi hati anda dalam mencari makna hidup di atas muka bumi Allah s.w.t. Sepening menyelsaikan sesuatu perkiraan yang berjawapan infiniti!

Bagiku, seorang muslim, aku dilahirkan dengan perkataan pertama yang kudengari adalah kalimah 'Allah Maha Besar'. Secara asasnya, aku tidak perlu lagi mengharungi perjalanan mencari agama dan jalan hidup yang benar kerana aku terlahir sebagai umat Islam, yakni agama yang memberikan jalan hidup menuju Allah Yang Esa. Aku dibesarkan dengan didikan agama yang sempurna, aku diajar tentang yang wajib mahupun yang sunat, pendek kata, serba serbi lengkap. 


Namun, semakin aku membesar, kematangan akalku menguji diriku dengan kemusykilan tentang perkara paling asas dalam hidupku. Aku mulai tersedar bahawa selama ini aku tak ubah seperti burung kakak tua yang mengikut dan mengajuk sahaja setiap perkara yang diajarkan kepadaku. Aku sering dibentak dengan persoalan: Siapa sebenarnya Allah? Apa sebenar-benarnya bukti yang paling sahih bahawa al-Quran itu kalam Allah? Soalan-soalan sebegitu seakan aku langsung tiada iman di dada. Astaghfirullahalazim. Namun, makin dibiarkan makin hatiku memberontak. Aku pesismis dengan bicara agama kerana aku membutuhkan jawapan asas kepada kepercayaan terhadap apa yang aku anuti, yakni: apa bukti kebenaran Islam? Bukan mudah mendapatkan jawapan yang sempurna dan meyakinkan untuk itu. Aku bukan mencari agama yang lain untuk melunasi jawapan itu, tidak juga aku terfikir untuk menidakkan kewujudan Tuhan, namun aku perlu mencari Tuhanku iaitu Allah s.w.t!


Aku mula temui sedikit demi sedikit petunjuk tentang Tuhanku. Allah mengajarkannya kepadaku melalui takdir hidupku sendiri. Aku ditemukan dengan pelbagai orang yang membawa pelbagai watak realiti kehidupan manusia dan kejadianNya di atas muka bumi. Pertama, melalui diriku sendiri. Aku akui, pernah satu ketika, lama sungguh aku meninggalkan al-Quran. Saat aku kembali menyentuhnya dan dalam kelunya lidahku menuturkan kembali firman-firman Allah itu, saat itu aku dapat rasakan bahawa sesungguhnya aku sedang diajar oleh Allah dan Allah sedang menjawab salah satu pertanyaanku iaitu: Sejauh mana sahihnya al-Quran?. Jawapan yang menyentap lubuk sanubariku tentang persoalan tersebut kutemukan dalam surah Al-Baqarah ayat 23. Allah berfirman yang bermaskud: 

"Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah sahaja yang seumpama dengan al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang yang benar." 

 Lantas, aku mengaitkan ayat ini dengan satu kuliah agama di televisyen yang kudengari. Kata panelis tersebut: al-Quran ini bukan buku sejarah yang terperinci, namun ia sebuah kalam dan bahasa kesusateraan yang paling indah, dikarang Allah s.w.t sebagai panduan kita mencari kewujudan dan keesaanNya. Jika al-Quran dikarang manusia, sudah pasti laras bahasanya tidak setinggi larasa bahasa al-Quran yang perlu dikaji untuk difahami. Subhanallah! Cabaran Allah dalam surah al-Baqarah ayat 23 untuk manusia menwujudkan satu sahaja surah seperti dalam al-Quran itu sendiri menunjukkan bahawa manusia bukanlah pengarang al-Quran kerana tidak akan sama perkataan yang dikarang manusia dengan susunan firman Allah s.w.t sendiri. Perlahan-lahan, hati mulai tunduk pada kebenaran al-Quran sebagai kitab yang sahih daripada Allah s.w.t.. Lalu, aku mula mencari Allah melalui bukti sains. Semakin aku telusurinya, semakin aku temukan jawapannya sama seperti yang disebut dalam al-Quran. Sains tentang tubuh manusia itu sendiri bukti sebenar-benar esanya Allah s.w.t. Hebat sungguh ciptaanNya!


Cara kedua Allah mengajarku adalah melalui orang-orang yang hadir dalam hidupku setiap hari. Setiap daripada mereka menukilkan satu makna realiti kehidupan manusia di atas muka bumi ini, Juga sama seperti yang disebut dalam al-Quran. Aku bertemu dengan mereka yang bermegah dengan kemewahan, mementingkan diri sendiri, tersasar dari jalan yang lurus dan juga mereka yang tidak pernah putus harapan dengan Allah s.w.t walau seringkali ditimpa musibah yang maha dahsyat! Namun aku mulai menyedari seperkara, Allah mengajarku untuk mendekatinya dengan mengurniakan perasaan sayang terhadap manusia. Aku mula mengadu padaNya setiap kali aku rasa dikhianati orang-orang yang kusayang, aku menangis padaNya setiap kali aku rasa bahagia, aku merintih padaNya setiap kali aku kecewa dengan orang-orang yang kusayang. Lalu, akalku menemui sebuah kesimpulan, ya, aku sedang diajar Tuahnku tentang erti kasih sayangNya. Setiap kali dia mengujiku dengan orang-orang yang kusayangi, setiap kali itu jugalah aku mencari kasih sayngNya dalam setiap sujudku. Tanpa sedar, aku sedang rapat dengan Tuhanku sehingga aku merasa seperti dipujuk hatiku setiap kali ditampar rasa pilu dan merasa lapang dadaku berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan walau sebentar cuma. Pada tahap ini, aku tersedar, aku telah peroleh keyakinan yang kucari terhadap Allah s.w.t.


Akal yang membentak mulai berfikir, apa kata jika aku mencuba lakukan sedikit perubahan? Alhamdulillah, berkat persekitaran yang mendorong ke arah itu, aku mulai temui sedikit demi sedikit ketenangan dalam perubahan itu. Ditambah dengan keyakinan yang mulai kubina, aku bertatih sedikit demi sedikit ke arah jalan menuju Allah s.w.t. Tak mudah, memang tak mudah, tapi aku pasti, ini jalan yang terbaik. Mendekati Allah telah membuatkanku ditunjukkan pelbagai realiti yang membuatku terfikir untuk mencari sedalam-dalam dan sebanyak-banyak ilmu tentang agama yang benar dan murni ini dan langkahku sebenarnya baru sahaja bermula!



p/s: Lahir sebagai seorang Muslim bagiku sebenarnya memberikan cabaran yang lebih besar untuk mencari siapa sebenarnya dirimu. Kenapa? Kerana kita terlalu leka akan nikmat lahir sebagai seorang Muslim. Leka dengan status Islam di atas kad pengenalan kerana kita mendapat segala manfaat dan nikmat yang dinikmati Muslim lain di muka bumi seperti nikmat  menyambut lebaran, berpoligami, menerima zakat dan sebagainya. Lupa sebenarnya tanggungjawab kita lebih besar di atas muka bumi. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan petunjukNya. Ameen.

1 ulasan:

  1. Yuk Merapat Best Betting Online Hanya Di AREATOTO
    Dalam 1 Userid Dapat Bermain Semua Permainan
    Yang Ada :
    TARUHAN BOLA - LIVE CASINO - SABUNG AYAM - TOGEL ONLINE ( Tanpa Batas Invest )
    Sekedar Nonton Bola ,
    Jika Tidak Pasang Taruhan , Mana Seru , Pasangkan Taruhan Anda Di areatoto
    Minimal Deposit Rp 20.000 Dan Withdraw Rp.50.000
    Proses Deposit Dan Withdraw ( EXPRES ) Super Cepat
    Anda Akan Di Layani Dengan Customer Service Yang Ramah
    Website Online 24Jam/Setiap Hariny

    BalasPadam