Jumaat, 22 Ogos 2014

Paris Dari Jawa

Assalammualaikum. Hello!

Cuti semester merupakan perkara yang amat membahagiakan bagi setiap manusia yang masih bergelar pelajar. Pelbagai rencana disusun untuk memenuhi setiap slot cuti tersebut. pendek kata, sebelum cuti lagi macam-macam ko dah berangan nak buat masa cuti sem, padahal depan mata ko masa tu assignment baru satu patah perkataan ko taip. Hahaha! Untuk aku, aku juga tidak terlepas daripada merencanakan pelbagai pengisian untuk kulakukan sepanjang cuti semester kali ini. Namun, apakan daya, manusia hanya merancang, tetapi Allah s.w.t yang menentukan pelaksanaannya. Cuti semester kali ini aku diuji dengan sedikit kedukaan tentang kesihatan ibuku. Tak mengapalah, dugaaan dan ujian itu tanda Allah masih sayang pada hambaNya.

Kalau dah tengok semua kawan-kawan melancong sana-sini, terusik jugaklah di hati ini tentang keinginan yang sama juga. Maka, kutitipkan sedikit kenangan cuti semester lepas tentang percutian saat akhirku ke kota Paris dari Jawa atau lebih dikenali sebagai Bandung buat pengubat keinginan untuk menjengkit~! Oh, kenapa Paris dari Jawa? Kalau yang pernah berkunjung ke sana mesti tau sebab apa kan? Paris dari Jawa adalah terjemahan daripada frasa Parijs van Java yang merupakan jolokan diberi oleh Belanda kepada Kota Bandung. Hal ini disebabkan oleh lokasi Bandung yang terletak di kawasan dataran tanah tinggi yang berhawa dingin. Benar, daerah Bandung ini sememangnya sangat sejuk dan nyaman udaranya. Kalau di Malaysia, ala-ala Cameron Highlands gitu tapi Bandung ni Cameron Highlands yang sebesar negeri Selangor (approximately)! Memang kena dengan jiwa aku.

My First International Boarding Pass. *jakun*

Perjalanan kali ini juga amat bermakna bagiku kerana ini kali pertama aku melancong ke luar negara (jadilah kann walaupun dekat!). Allah makbulkan doaku untuk keluar dari Malaysia buat pertama kali dan diletakkan takdir itu untuk bersama-sama keluarga pertamaku di UiTM, keluarga SCLC! Semuanya memang tak dirancang. Keputusan membeli tiket penerbangan aku lakukan tanpa diduga dan dalam sekelip mata setelah Chot pelawa aku untuk mengikuti mereka ke Bandung. Semuanya disebabkan tweet aku yang menyatakan hasrat untuk ke sana jika berpeluang dalam masa terdekat! Menaiki penerbangan Air Asia QZ8598 dari LCCT ke Bandara Hussien Sastranegara yang mengambil masa 2 jam, ini juga merupakan pengalaman pertama menaiki pesawat di malam hari. Mendarat sahaja di Bandara, udara sejuk menampar pipiku (acah-acah ayat novel sikit. Hahahaha!). Pemandangan pertama yang dapat kulihat sejak dari atas pesawat lagi adalah keunikan lapangan terbangnya yang dikelilingi rumah-rumah penduduk kota Bandung yang dibina rapat-rapat antara satu sama lain. Rasanya kalau terlajak sikit kapal terbang tu, memang habis dilanggornya ghumoh orang.

Sepanjang berada di kota Bandung, kami menginap di Mine Home Hotel yang terletak di Cihampelas. Hotel yang dikendalikan oleh Pak Dwi dan isterinya yang peramah ini bagiku menyediakan kemudahan yang sangat memuaskan untuk pengembara bajet seperti kami. Pakej yang beserta  dengan kemudahan pengangkutan ke mana-mana destinasi pilihan kami di sekitar Kota Bandung ditawarkan dalam harga yang berpatutan iaitu sekitar RM325/pax termasuk sarapan pagi dan makan malam untuk 4 hari 3 malam.

Tepi hotel, bergambor kenangan dengan Bang Irwan (3 dari kiri), pemandu ramah yang membawa kami berjalan-jalan dan mengaku dirinya Irwan Shah. Hahaha!


Keesokan harinya, kami mulai pengembaraan di Kota Bandung dengan mengunjungi Pasar Baru. Sebenarnya aku rasa silap jugak pergi tempat shopping on the first day sebab duit habis awal T____T. Tapi memandangkan cuaca tidak begitu baik untuk kami ke Tangkuban Parahu pada hari pertama, maka kami ubah jadual untuk berkunjung ke Pasar Baru dan berjalan-jalan sekitar tempat membeli-belah yang popular di kota Bandung. Maklumlah, Kota Bandung juga dikunjungi kerana syurga membeli-belahnya! I must admit, perempuan memang kena pakai penapis kat mata tu untuk mengelakkan habis duit macam tu je kat Bandung ni sebab semua barang-barangnya buatkan kita jadi rambang mata nak memilih! Kain sulam yang pelbagai warna, corak dan jenis fabrik dijual pada harga yang amat berpatutan yakni serendah RM45 sepasang untuk jenis kain kapas atau satin. harga yang jauh lebih murah berbanding di Malaysia. Kalau pandai tawar, boleh dapat lagi rendah daripada tu sebenarnya~


Tapi, perlu diingat, kebanyakan daripada peniaga di Pasar Baru penah bekerja di Malaysia dan kebanyakan pengunjung di pasar tersebut juga merupakan warga Malaysia. Jadi, kebanyakan peniaga di sana amat arif dengan harga barangan yang dijual mereka apabila dijual di Malaysia. Maka, kebanyakan daripada mereka enggan menurunkan harga terlalu banyak kerana sudah arif dengan harga di Malaysia. Kebanyakan daripada mereka juga meminta 'kenang-kenangan' daripada pelancong Malaysia seperti duit not Malaysia sebagai tukaran kepada harga yang ditawar. Well, it's a total new experience for me in bargaining for items. Jadi, sediakanlah duit RM1 tu banyak-banyak bila berkunjung ke Pasar Baru. Anggaplah sebagai sedekah. Tapi, tawarlah harga banyak-banyak sikit!

Selfie di tengah-tengah Kota Bandung. Tergamam orang jual magnet depan kitorang tengok orang Malaysia gini. Hahaha!
Kunjungan kami ke Pasar Baru tidak berakhir pada hari pertama sahaja. Kami kerap kembali ke Pasar Baru pada hari kedua dan ketiga untuk mencari pelbagai kiriman dan fabrik yang diingini oleh saudara dan hadai di Malaysia. Kunjungan yang kerap kali itu juga memerlukan kami menunaikan solat waktu di Masjid yang terletak di aras rooftop Pasar baru. Apa yang ingin aku tekankan adalah sistem pengurusan Masjid tersebut. Masjid tersebut menyediakan urusetia untuk menyimpan kasut, telekung, sejadah dan kain pelikat untuk digunakan para jemaah yang ingin bersolat di Masjid tersebut. Yang membuatkan kau kagum, walaupun jemaah yang hadir setiap hari jumlahnya amat ramai, namun kain telekung yang digunakan sentiasa berbau wangi dan bersih! Ya, untuk tiga kali kunjunganku ke Masjid tersebut, telekung yang kupinjam amat bersih dan berbau wangi sedangkan aku juga pernah meminjam telekung yang sama pada hari sebelumnya. Ternyata, mereka sangat menitikberatkan soal kebersihan ketika bertemu Allah. Hal ini sewajarnya menjadi contoh dan ikutan masyarakat di Malaysia terutamanya urusetia-urusetia masjid.

Makanan di Bandung, masya-Allah, pedas yang amat! Lawannya pulak dengan teh panas. Meletup mulut rasanya! Tapi hilang pedas tu cepat. Paling menarik bila dapat makan di satu restoran dalam perjalanan pulang dari Tangkuban Parahu. Kami makan ala-ala di dalam pondok atas pohon di atas bukit. Memang superb view dia! Kalau berkunjung ke Bandung, jangan lupa juga dapatkan kerepek pisang sale (salai). Kalau di Putra, Cihampelas, ada juga kerepek pisang sale pelbagai perisa. Paling best: Perisa Oreo Karamel! Brownies juga antara specialities di Bandung. Paling popular, brownies di Kartika Sari. Eh, pendek kata memang meletops lah makanan kat Bandung ni!

Muka kekenyangan lepas makan kat tempat superb tu! This was taken at floating market. Bandung pun ada tau!

Antara tempat yang WAJIB menjadi kunjungan apabila berkunjung ke Kota Bandung sudah tentulah Tangkuban Parahu. Tangkuban Parahu merupakan antara gunung berapi yang masih lagi aktif di Kota Bandung dan Indonesia secara amnya. Ketika aku berkunjung ke sana, masih jelas dapat dilihat keaktifan aktiviti pengeluaran gas beracun di bahagian bawah kawahnya yang dikatakan kembali aktif sejak Oktober tahun 2013. Namun, pemandangan di Tangkuban Parahu ni memang spectacular! Subhanallah! Sangat Menakjubkan! Kehadiran kami disambut dengan hujan yang agak lebat serta udara yang amat dingin dan kata orang sejuk sampai ke tulang. Terdapat juga perkhidmatan pemandu pelancong di kawasan Tangkuban Parahu ini yang membolehkan anda dibawa ke kawasan Kawah Domas yang mana anda boleh merendam kaki atau mengambil sedikit lumpur larva daripada kawasan kawah tersebut yang terbukti baik untuk kesihatan.

Inilah Kawah Ratu, Tangkuban Parahu. Nampak tempat yang asap tebal tu? itulah tempat yang keluarkan gas beracun tu. Dulu boleh turun sampai situ, tapi sejak ia aktif kembali, pihak berkuasa tak benarkan dah.

Leka punya duk tengok celah mana yang bentuk perahu terbalik sampai diberi nama tempat tersebut Tangkuban Parahu, aku tak sedar masa bila aku kena tinggal dengan group aku. Yang tinggal dengan aku, 'pemandu pelancong' tak berbayar yang juga merupakan peniaga disekitar kawasan tersebut yang bernama Hermawan. Dialah yang cerita kat aku sejarah disebalik nama Tangkuban Parahu ni (mungkin dia nampak muka curious aku kot?). Menurut Hermawan, pada suatu masa dahulu, ada seorang pemuda bernama Sangkuriang yang mempunyai kuasa sakti  jatuh cinta pada ibunya sendiri dek kerana ibunya yang berwajah awet muda. Bila ibunya mengatakan bahawa wanita yang dicintainya itu merupakan ibu kandungnya sendiri, dia tetap tidak percaya. Dia tetap dengan pendiriannya untuk menikahi ibunya sendiri. Maka, ibunya yang berwajah awet muda lagi bijak itu menetapkan satu syarat kepada pemuda tersebut. Syaratnya, dia hendaklah membina sebuah bendungan yang mampu menutupi seluruh bukit di situ dan menyediakan sebuah perahu besar untuk menyusuri bendungan tersebut. Semua itu perlu diselesaikan sebelum ayam jantan berkokok tanda terbitnya fajar. Dengan kuasa sakti yang dimiliki, Sangkuriang berjaya menebang sebuah pohon yang dimiliki dan hampor menyiapkan perahu besar untuk menyusuri bendungan yang telah siap. Lantas, ibunya berdoa kepada dewa dewi untuk mempercepatkan waktu siang dan doanya diperkenan kerana ayam jantan berkokok lebih awal dari waktu sepatutnya. Demi mendengarkan ayam jantan yang berkokok itu, kecewalah hati Sangkuriang dan kekecewaannya itu dizahirkan juga dengan menterbalikkan perahu besar yang dibinanya itu lalu terbentuklah Tangkuban Parahu. 

(Kata Hermawan, cerita ni ada banyak versi. Untuk versi yang lebih lengkap, boleh rujuk link ini--> http://legendakita.wordpress.com/2007/10/08/asal-usul-gunung-tangkuban-perahu/)
Nampak tak benda yang terlangkup kat belakang tu, itulah gunung yang digelar Tangkuban Parahu. Gambar ni Hermawan yang ambilkan. Hehehe

Gambar ni pun Hermawan yang ambil kan ;)

Kalau ikut storyline tadi, macam lama jugaklah aku lepak dengan Hermawan ni. Memang lama pun. Sampai sempatlah dia bukak cerita lagi pasal 'Pohon Siti Nurhaliza' kat situ. Katanya, pokok tu Siti Nurhaliza tanam masa datang dengan Kris Dayanti kat situ. Naik tandu katanya Cik Siti kita masa tu. Hehehe. Selain kisah Tangkuban Parahu dan Pohon Siti Nurhaliza, Hermawan juga membuatkan aku kagum dengan semangat peniaga-peniaga barangan daripada hasil gunung berapi di situ. Mereka tidak berputus asa dengan barangan dagangan mereka walaupun hasil sehari-hari kadangkala lumayan kadangkala tiada langsung. 

Pohon kat belakang tulah Pohon Siti Nurhaliza. Eh, kenapa pose aku sepesen je ni? Nabil nampak mesti marah. Hehehe

Selain Hermawan, sementara menunggu rakan-rakan lain membeli cenderamata, aku ditemani pula oleh seorang lagi peniaga lain selepas Hermawan beredar. Tapi aku lupa apa namanya. Cuma yang pasti, bapak ini penuh dengan semangat patriotisme dia terhadap Indonesia. Bayangkan, gigihnya mereka berulang-alik ke kawasan pergunungan bersebelahan Tangkuban Parahu untuk mendapatkan batu andhesit (sejenis batu gunung berapi) bagi menghasilkan barangan seperti tasbih, gelang tangan dan sebagainya untuk dijual kepada pelancong yang datang. Yang membuatkan aku kagum dengan pandangan beliau tentang hidup adalah katanya "Biar hidup aku tampak kayak gangster, bertindik di telinga, rambut panjang mengurai satu masa dahulu, namun pelikat (kain pelikat) tetap ada dalam tas ku. Pabila aku mendengar ajan dilaungin, pantas aja aku ke musholla, sarungin pelikat dan sholat". Kata dia lagi, hidup kalau nak fikir susah sahaja, sampai bila pun tetap susah. Jadi, bersangka baiklah selalu dengan Allah, pesan dia. 

Dalam lebatnya hujan di Tangkuban Parahu tu dan sejuknya air bukit yang mengalir bawah kaki kami, aku tak berkutik sedikit pun dengar luahan isi hati bapak itu. Banyak betul pesanan dia buatku walaupun aku tidak membeli satu pun barangan jualan dia. Aku tanya pada dia, "Kenapa bapak tidak ke negara lain mencari rezeki?" Kata dia, "Biar apapun yang terjadi, takkan luntur cintaku terhadap Indonesia." Tabik! Sungguh, aku terharu kerana bapak tersebut menghantar aku sampai ke kenderaan untuk pulang dan beliau sempat berpesan agar aku hargai kesempatan yang aku dapat untuk belajar di universiti kerana dia disisihkan daripada layak untuk ke universiti hanya kerana kekurangan wang dan masalah pendengarannya. Sedih, sebak dan dalam kesejukan dek kekuyupan, tertitis air mataku. 

Sesungguhnya aku mengerti bahawa kunjungan aku ke Kota Bandung diizin Allah dengan penuh hikmah disebaliknya. Allah ingin berbicara denganku tentang kehidupan melalui hamba-hambaNya di tempat selain tanah kelahiranku. Di bumi Wali Songo. Harus aku akui, selepas kunjungan ke Tangkuban Parahu, terdetik pelbagai rasa di hati untuk lebih menikmati kurniaan Tuhan. Kunjungan aku pada waktu itu mungkin lebih banyak kepada aktiviti membeli belah. Namun, aku berjanji, jika ada kesempatan wang dan waktu, aku akan kembali lagi ke kota Bandung untuk ke Kawah Putih pula. Another magnificient place to visit!

Kawah Putih. Ohhhhh MAGNIFICIENT!


p/s: Benar kata pepatah, jauh perjalanan, luas pemandangan. Aku mungkin masih belum mengembara ke banyak tempat-tempat menarik di dunia, namun ketenangan yang kurasa ketika berada di Kota Bandung mungkin takkan sama di tempat lain. Azan dari segenap penjuru yang kudengari dari kamar hotel tempat kumenginap setiap pagi sepanjang di Bandung memberiku suatu ketenengan yang infiniti untuk diungkap. Bandung, aku pasti kembali!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan