Ahad, 25 September 2016

Dari Puncak Ingin Ke Angkasa

Sudah hampir dua tahun almari ini berhabuk rupanya. Hahaha! Satu benda yang aku perasan semakin memudar dalam diriku adalah keinginan untuk menulis yang merupakan suatu hobi buatku sejak dari kecil. Masih teringat lagi ketika aku berusia 8 tahun, waktu itu cuti persekolahan dan aku mengatasi kebosanan melampauku dengan mengambil satu buku nota kosong dan menulis apa sahaja yang ternampak di mataku. Kadang kala, aku mengambil bahan bacaan dan menulisnya semula di dalam buku nota tersebut untuk mengisi masa lapangku. Namun, masa berlalu dan kelihatan aku semakin melupakan hobiku itu.Alasan kepada diri sendiri, komitmen penulisan yang lain memburu waktu untuk kuluangkan kepada hobiku.

Alhamdulillah, setelah berhempas pulas menyelesaikan pengajianku di menara gading, aku berjaya berada di puncak menara gading itu. Perjalanan yang kulalui untuk ke situ? Hanya Allah yang tahu betapa peritnya. Hampir aku memutuskan untuk berhenti dari meneruskan pengajian tahun terakhirku di UiTM tetapi Allah masih mengkehendaki aku untuk menamatkan pengajian dan aku bersyukur atas kesempatan yang diberikan. Alhamdulillah, aku juga diberikan kesempatan untuk menjalani tempoh Latihan Dalam Kamar selama 9 bulan di Zalila & Co.. Sebuah firma kecil yang sangat penuh dengan kasih sayang dan ilmu di dalamnya. Sesungguhnya, 9 bulan yang kulalui di sana seakan 9 hari sahaja tempohnya. Terlalu pantas masa dirasakan berlalu kerana setiap hari yang dilalui tidak pernah membosankanku. Staf-staf yang sangat memanjakanku (dan menggemukkanku dengan masakan mereka yang amatlah enak, hehehe!) dan seorang Master (Pengajar) yang sangat mesra denganku. Tidak perlu ber'puan' bagai dengannya, Cukup dengan gelaran 'akak' sahaja. Firma yang membuatkan aku tidak menyesali memilih bidang conveyancing untuk menjalani 9 bulan tempoh latihan dalam kamar walaupun aku terpaksa kerana aku hanya berpeluang untuk memilih firma yang mempunyai bidang praktikal litigasi (bahasa mudahnya: kerja-kerja yang kena pergi mahkamah macam ada kes saman ke jenayah ke).
Beloved Firmmates during my Final Year. These bunch have helped me soooo much during my though days!


Sembilan bulan menghadap dan mengabdikan diri pada ilmu land conveyancing atau pindahmilik hartanah, aku semakin boleh menerima dan menghadam salah satu bidang dalam dunia perundangan ini. Satu bidang yang aku amat benci dan tidak pernah terlintas dalam fikiranku untuk bekerja dalamnya selepas tamat pengajian. Namun, dalam penerimaanku itu, ada sesuatu yang seakan terbuku dalam hati. Ada satu intuisi halus yang membisik kepadaku bahawa aku tidak serasi dengan bidang ini. Ada pelbagai sebab yang berlegar difikiran tetapi antara sebab yang paling kuat mencengkam hati adalah impian sebenarku dalam bidang perundangan ini. Ya, aku bermimpi dan berangan-angan sejak zaman persekolahan lagi untuk menjadi seorang Timbalan Pendakwaraya atau peguam jenayah. Aku selalu merasakan bahawa melalui cara itu aku dapat menabur bakti kepada mereka yang memerlukan. Namun, akal rasionalku mula menyimpangkan arah pemikiranku ke sudut yang lebih luas; bahawa dalam apa saja bidang sekalipun, jika ada keinginan untuk berbakti, pasti akan terlaksana walau apa jua cara dan penampakannya. 


Lalu, aku memujuk hati sendiri untuk membiasakan diri dengan apa yang ada di sekelilingku dan membuahkan hasil semaksima mungkin daripadanya walaupun kadangkala bibit-bibit memberontak itu timbul juga. Teringat sewaktu aku menghadiri Kursus Etika dan Standard Professional anjuran Majlis Peguam Malaysia (wajib hadir, ok! Kalau tak takleh jadi loyar), salah seorang penceramah tegar untuk siri-siri kursus tersebut menggesa peguam muda agar menceburi dan melibatkan diri dalam bidang litigasi dan tidak fokus semata-mata dalam bidang conveyancing, Menurutnya, bidang litigasi membina kemahiran kepeguaman yang tinggi dalam diri seorang peguam terutamanya peguam muda yang dahagakan ilmu dan pengalaman. Mahkamah adalah taman permainan peguam, menurutnya lagi. Mendengarkan itu, luluh rasanya jiwa aku yang memang 100% menjalani latihan dalam bidang conveyancing ini. Yelah, mana tidaknya, jiwa dah memang pada kitigasi tapi tak berkesempatan untuk praktis dalam bidang litigasi lagi. Bila difikir lebih mendalam, lepas tamat 9 bulan ni pun, susah untuk dapat penempatan sebagai Legal Assistant untuk litigasi tanpa sebarang pengalaman praktikal dalam bidang litigasi sepanjang tempoh latihan dalam kamar! Dalam hati merancang untuk menjalani internship selama sebulan dua di mana-mana firma guaman yang menjalankan urusan litigasi, 

Tamat sembilan bulan, sekali lagi aku diuji kegetiran yang sama ketika tahun akhir pengajianku. Kesihatan ibuku diuji sekali lagi, Dua bulan aku habisi menemaninya dirumah sementelah menunggu sijil peperiksaan Kursus Etika yang kujalani dihantar ke rumah untuk aku melengkapkan dokumen memfailkan penerimaan masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya, Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Sekali lagi Allah makbulkan doaku membawa ibu bapaku ke tempat yang aku impikan untuk berdiri sebagai seorang peguam sejak kecil lagi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, Gembira rasa hati dapat melihat mereka tersenyum bahagia saat Hakim mengisytiharkan penerimaan masuk aku sebagai peguambela dan peguamcara. Tak banyak yang telah aku lakukan sepanjang 24 tahun kehidupanku ini untuk membanggakan mereka dan aku berharap agar hari tersebut dapat menjadi salah satu perkara yang terbahagia dalam hidup kedua-dua orang yang paling aku sayangi di dunia ini.

Dream comes true! Alhamdulillah. An Advocate and Solicitor already!
On My Big Day! From left: My Mover, Me, My Master and My Most Beloved Person Fiddunya Wal Akhirah!


Alhamdulillah, aku berjaya mendapatkan sebuah pekerjaan di firma lain kerana firma tempat aku menjalani latihan dalam kamar tidak mampu untuk menggaji seorang Legal Assistant. Sebagai Legal Assistant untuk urusan CONVEYANCING! Hurm, pasti ada yang berkata : kalau dah minat sangat dengan litigation, kenapa tak usaha untuk dapatkan kerja litigation jugak? Kenapa terburu-buru bekerja untuk conveyancing matters? Ya, benar. Itu juga persoalan yang menghantui diriku sendiri ketika aku mula bekerja dan stres dengan diri aku sendiri yang masih belum cekap menguruskan banyak perkara ketika bekerja. Hakikatnya, kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan. Aku memutuskan untuk meneruskan dan memahirkan diri dengan apa yang telah kupelajari sepanjang tempoh latihan dalam kamar walau pada hakikatnya, jiwa aku lebih cepat menyerap ilmu dan fakta urusan litigasi terutamanya litigasi jenayah dan tort. Aku cabar diriku sendiri untuk tidak duduk dalam zon kemahuan dan keselesaanku tanpa sedar aku juga telah mencabar diriku untuk meningkatkan tahap kecekapan diriku bekerja dalam bidang yang bukan dalam kemahuanku. Bab meningkatkan kecekapan itu jugalah yang seringkali membuat aku menumpahkan air mata dan membenci diriku setiap kali aku melakukan satu kesilapan hatta kesilapan kecil sekalipun. Aku cuba sedaya upaya untuk tidak melihat segaris pun raut kekesalan di wajah bos dengan keculasan dalam kerja-kerja yang aku lakukan dan setiap kali itu terjadi, aku memarahi diriku sendiri. Bukan apa, bagiku, bosku sekarang teramat baik hatinya mengajar dan membimbingku dari A sampilah ke Z walaupun pada hakikatnya aku bukan lagi sedang menjalani latihan dalam kamar ataupun internship.

Lantas, sekali lagi, kupujuk hati yang memberontak dengan Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Mungkin aku merasakan bidang ini sangat tidak sesuai untukku, tetapi hikmah yang disusun olehNya jauh lebih baik buatku dan aku sendiri sebenarnya masih belum mengetahui apakah hikmah terbesar Allah melorongkan aku ke jalan ini. Satu hal yang pasti, aku bersyukur kerana dengan pekerjaanku sekarang, aku lebih dekat dengan kedua ibu bapaku, Bukan tak boleh nak cari kerja di tempat yang lebih banyak peluang, tetapi aku keberatan untuk berada agak jauh dari ibu bapaku yang telah uzur. Itu jugalah antara sebab utama aku memilih untuk kekal dalam bidang conveyancing yang tidak memerlukan aku untuk kadangkala bekerja sehingga subuh hari untuk menyiapkan submission dan sebagainya seperti bidang litigasi.

Walau bagaimanapun, aku masih berharap agar suatu hari nanti, aku diberi pula kesempatan untuk melibatkan diri dalam bidang yang amat aku impikan sejak bangku persekolahan lagi. Aku pasti, ketika ini Allah sedang memberiku ruang dan kesempatan untuk memperbaiki segala kelemahan yang boleh diatasi sekalgus menambah nilai kemahiran diriku untuk masa depan yang lebih baik. Perjalanan yang harus kutempuh sekarang peritnya amat dahsyat namun, aku cuma punya dua pilihan: hanyut dan lemas dalam keperitan atau harungi semuanya dan keluar ke arah yang lebih bahagia di penghujung jalan. aku pilih pilihan kedua. Aku tahu Allah takkan biarkan aku terus dalam kepayahan kerana ":Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya:"- Al-Baqarah, ayat 286. Aku juga sedar aku perlu berusaha untuk keluar dari keperitan menimba ilmu ini demi nasib yang lebih baik kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ia mengubah nasibnya sendiri- Ar-Ra'ad, ayat 11.

P/S: Aku menukilkan luahan rasaku di sini dengan harapan setiap kali aku rasa tiada harapan untukku lagi, aku akan mengingati betapa hatiku sentiasa menanam harapan untuk terus mencapai angan dan impianku menjadi seorang peguam yang beraksi di mahkamah. Walaupun mungkin impianku ini bukanlah yang terbaik untukku, sekurang-kurangnya aku tidak akan menyerah sebelum mencuba. Tak salahkan kalau dari puncak, kita berazam menuju ke angkasa pula? ;)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan