Jumaat, 19 Ogos 2011

Hari Bila Dah Besar Part 2

Maka, setelah hari beransur petang, manira pun pulang ke rumah untuk meneruskan saki baki cuti manira yang hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi. Sebelum masuk ke dalam rumah, sudah menjadi kebiasaan manira untuk memeriksa peti surat. Satu perihal yang amat manira gemari adalah menunggu posmen untuk menghantar surat ke rumah manira. Jika terdengar sahaja bunyi motosikal posmen lalu di depan rumah manira, pasti manira akan meluru ke tingkap untuk melihat jika ada titipan surat buat manira. Kali ini telahan manira mengena! Ada beberapa keping surat di dalam peti surat rumah manira itu. Satu daripada bank (mintak hutang bayar kad kredit.. HAHAHA!) dan satu lagi berupa seperti kad jemputan perkahwinan. Pasti ini datangnya daripada salah satu teman manira.

Oh! rupanya Nazrin akan berkahwin hujung minggu ini! Semoga panjang umurnya kerana baru sahaja pagi tadi manira menerima perkhabaran tentangnya daripada Kelly. Tetapi, manira akan mengadakan kelas ganti untuk cuti hari raya nanti pada hujung minggu ini.Tak mengapalah. Manira akan memendekkan tempoh kelas ganti tersebut. Pasti pelajar-pelajar manira juga gembira mendengarkannya! Manira faham kerana suatu masa dahulu manira juga pernah menjadi seorang penuntut. HAHAHA! 

Kini tibalah hari perkahwinan Nazrin yang gilang gemilang~ Manira yang berkejar dari tempat manira mencurahkan bakti tiba jua di majlis persandingannya ini. Walaupun agak terlambat hingga menjangkau jam 2.30 petang, namun manira tetap jua menghadirkan diri manira demi memenuhi jemputan. Sempat juga manira bertemu dengan beberapa teman lama manira, antaranya Nadhila yang kini semakin sibuk dengan kerjaya tetapnya sebagai ketua pengarah eksekutif muda di firma kejuruteraannya sendiri. Dengar khabar baru-baru ini firmanya telah berjaya mendapatkan projek yang bernilai jutaan ringgit di Kazakhstan! Memang hebat rakanku ini! Bukan sahaja hebat dari segi kerjaya, malah beliau juga cekap menguruskan keluarganya yang kini semakin bertambah dengan kehadiran dua orang cahaya matanya.. Masih manira teringat akan kisahnya beberapa tahun dahulu ketika beliau memutuskan untuk tinggal di Australia (rupanya dia belajar kat Aussie bukan UK~!) selepas tamat pengajian kerana telah mendapat pekerjaan yang bagus dan dipelawa menjadi rakyat negara itu. Namun setelah dipujuk hati ibu yang walang, dialangkan hasratnya itu dan pulang ke tanah air untuk mencurahkan ilmu yang ditimba. Kini beliau sedang berbahagia bersama anak dan suami tercinta yang merupakan seorang arkitek yang ternama di Malaysia.

Leka berbual bersama Nadhila, dengan tidak semena-mena mata manira terpandangkan seseorang yang sepertinya amat manira kenali dan rindui. Orang merantau jauh juga. Hahaha! Ya, tak syak lagi. Itu Izzatty! Manira terlupa akan persahabatannya dengan Nazrin yang bermula di laman sosial Facebook melalui Naim Zafri. Di kejauhan manira melambaikan tangan ke arahnya.

"Izzatty! Ya habibi!! Sudah lama tak berjumpa. Bila kau sampai? Lama sungguh tak jumpa kau. Sejak kau balik dari Jordan hari tu memang langsung tak jumpa dengan kau. Amacam kerja? Ramai patient?"

"Dayahhhh! lamanya aku tak jumpa kau! Aku pun baru je sampai. Itupun nak lari balik hospital ni. Aku kena On-call malam ni. Kerja? Ok lah.. Minat kan? Mestilah ok. Hehehehe.."

"Anak-anak kau mana? Tak ikut ke?? Your hubby??"

"Aku datang ni pun dari hospital. Tak sempat nak pick up anak-anak aku. Suami aku tak boleh keluar. Ada emergency case yang nak kena operate. Susah kalau jadi anesthetic ni.."

"Ooooo.. Lupa pulak aku laki ko tu pakar bius.. Hurm lone ranger lah ni.HAHAHA! Tak pelah. Tugas kan. Mulia kerja doktor ni."

"Kau pun apa kurangnya. Mulia juga kerja pensyarah tu. Sama macam guru. Sampai bila-bila dapat pahala selagi ilmu yang diajar itu dimanfaatkan. Hah, dulu kau jadi lawyer pun sama jugak. Aku dengar banyak kes tentang penindasan orang miskin kau selesaikan. Itukan dah jadi mulia kerja tu. Eh, ok lah Dayah, aku kena pergi hospital balik ni. InsyaAllah ada masa kita date ok??"

Selepas berpamitan dengan Izzatty aku kembali mengekstrak kata-katanya sebentar tadi. Bukan apa, ada seorang rakan sekuliahku ketika peringkat Asasi dahulu juga mempunyai jejak langkah yang sama denganku iaitu Nazihan Athirah atau lebih manja dipanggil sebagai Ziehan @ Ziehang (sebab sengaja nak kenakan dia..Maklumle orang Terengganu mek ni.). Sekarang beliau kembali berbakti untuk nusa dan bangsa di tempat kelahirannya sendiri iaitu di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, juga dalam bidang undang-undang sepertiku. Kini beliau sedang berbahagia dengan kehadiran cahaya mata pertama yang baru dilahirkannya dua minggu lepas. Namun, manira masih belum berkesempatan untuk melawatnya lagi kerana diburu tanggungjawab dan bebanan kerja. InsyaAllah. Manira bercadang untuk melawatnya semasa cuti semester yang akan tiba tak lama lagi. Suaminya?? Kenalan lamanya di Terengganu.. Pengalaman menjalani chambering di tempat yang sama masih kekal terpahat utuh di ingatan manira kerana selepas itu kami membawa haluan masing-masing sebelum beliau pulang ke Terengganu dan bekerja di sana.

Selesai berkenduri di rumah Nazrin dan bertemu sapa dengan ramai rakan-rakan manira yang turut memeriahkan kenduri tersebut, manira pulang ke rumah. Malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang ke rumah, manira hampir-hampir terlibat dalam satu kemalangan apabila kereta yang manira pandu di langgar dari belakang. Alangkah terkejutnya manira apabila melihat apa yang ada di depan mata manira ketika itu! Murni a.k.a MUN!! Mujurlah tiada apa-apa kerosakan yang berlaku. Hanya calar sebarang dua. Maka kami yang sudah 4 tahun tidak berjumpa ini terus ke rumah manira untuk bersua muka meluruh rindu. Perkembangan terakhir yang kudengari tentangnya adalah beliau telah berjaya membuka firma guamannya bersama Khairi Anwar yang juga merupakan teman manira ketika di peringkat Asasi dahulu.

Mun dijamu dengan puding roti untuk minum petang dirumahku. Kebetulan ibuku menyediakannya kerana aku memang amat menggemari sajian tersebut untuk dinikmati di hujung minggu. Sambil menjamu hidangan petang yang tersedia kami berbual mengenai perihal diri masing-masing. Rupa-rupanya beliau kini dalam rangka lawatan mengelilingi dunia bersama partner law firmnya, Khairi demi melaksanakan impiannya untuk berjalan-jalan mengelilingi dunia. Patutlah sudah bertahun aku jarang menerima perkhabaran daripadanya. Jarang ada di Malaysia rupanya. Firma guamannya pula kini sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan kes berprofil tinggi yang kini sedang hebat diperkatakan media massa. Tidak hairanlah jika beliau mampu bercuti ke luar negara setiap bulan! Dikhabarkan Mun kepada manira bahawa beliau akan mendirikan rumah tangga hujung tahun ini yakni setelah selesai Misi Mengelilingi Dunianya. Calon suaminya tak pula diceritakan kepada manira. Mungkin sebagai buah kejutan buat manira!

Manira juga turut menerima perkhabaran daripada Mun yang mengatakan bahawa Amirah atau lebih dikenali sebagai Meng kini merupakan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa dan merupakan naib canselor wanita yang pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan lebih 100 buah buku dalam setahun! Bangga manira mendengarkannya. Pernah manira melihatnya dalam satu temu bual khas di televisyen untuk meraikan kejayaanya bergelar naib canselor baru UIA. Menurutnya, kejayaannya banyak didorong oleh semangat yang tidak putus-putus daripada suami dan keluarganya. Baguslah. Inilah yang dikatakan rahmat dan rezeki yang dijanjikan Allah apabila berumah tangga. Alhamdulillah... Selain Meng, Mun turut menceritakan perihal Acap yang kini menjadi Penolong Pendakwaraya di Jabatan Peguam Negara dan juga merupakan ketua pasukan pendakwa raya yang menentang firma guaman Mun untuk kes berprofil tinggi tersebut. Hah lawanlah korang dua!!(Eh eh?? asal cakap moden ni..ehemehem *betulkan tekak*)

Turut memasuki senarai Mun ialah Bruno Mars Malaysia atau nama sebenarnya Mohammad Nurhidayat Putra @ Yayat! Hehehehe.. Beliau kini menjawat jawatan sebagai seorang court marshall (manira lupa apa namanya dalam Bahasa Melayu *malu!*). Di mana?? Mun sendiri kurang pasti kerana beliau selalu bertukar dari satu tempat ke satu tempat lain yang memerlukan khidmatnya. Namun, masih ramai wanita-wanita di luar sana yang menggilainya bahkan ada yang sanggup mengeluarkan kertas dan pen untuk meminta tanda tangannya kerana tersalah anggap beliau sebagai Bruno Mars! Namun tidaklah manira nafikan bahawa beliau memang berbakat untuk menyanyi kerana lantunan suaranya mampu mencairkan hati setiap yang mendengarnya~! Mujurlah beliau memilih kerjaya sebagai court marshall yang membataskan aktiviti nyanyiannya kerana pada hemat manira, jika beliau memilih kerjaya sebagai seorang peguam, sudah pasti beliau mampu menjadi penghibur setaraf dengan Allahyarham Sudirman yang  juga merupakan seorang peguam semasa hayatnya di muka bumi.

Tiga jam lamanya berbual sehingga tidak sedar senja menyingkap tirainya. Selepas selesai menunaikan solat Maghrib, Mun meminta diri untuk pulang. Namun sebelum beliau pulang, sempat dilipurlarakan kepada manira tentang Khaliq yang kini berkelana seluruh Malaysia dan Eropah setelah membina empayar guamannya sendiri dan pada masa yang sama membuka sebuah syarikat perkomputeran yang berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat. Manira juga turut mendgar khabar bahawa produk elektronik daripada syarikatnya kini sebaris dengan jenama-jenama handalan seperti Apple dan HTC.. Maju Malaysia! Mun juga turut mempelawa manira untuk menyertai rangka percutiannya ke Vienna dan Amsterdam yang merupakan destinasi terakhirnya sebelum berkahwin kelak. Mujurlah manira mempunyai rakan-rakan yang menjadi juruterbang syarikat penerbangan dalam mahupun luar negara. Antaranya Anaqi yang selalu menghulurkan tiket percuma untuk manira ke mana sahaja destinasi dalam mahu pun luar negara. Beliau sendiri tidak mampu menghabiskan bonus tersebut lantaran kebanyakan ahli keluarganya sendiri juga menjadi juruterbang! Syukur alhamdulillah.. Mungkin selepas beliau berkahwin tak merasalah lagi manira tiket percuma kerana sudah ada isteri untuk dilaburkan bonus tersebut. Tapi sebelum itu terjadi, manira hanya menikmati rezeki yang Allah kurniakan kepada manira!

Malam tersebut, sebelum tidur, manira panjatkan kesyukuran kerana diberi kesempatan untuk melihat kejayaan diri manira dan seluruh rakan-rakan yang sentiasa dekat di hati manira. Sebelum manira beradu, sempat manira menjenguk akhbar maya dan berita yang dihadapan manira benar-benar mengejutkan manira!

Hakim Wanita Mahkamah Persekutuan Termuda Dilantik


Kuala Lumpur- Hari ini sejarah dicipta dengan terlantiknya seorang hakim wanita bagi Mahkamah Persekutuan  di usia yang paling muda sepanjang sejarah perlantikan hakim di negara ini. Puan Nurfarhan Ismail,29 tahun dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan di sini bersama 5 orang hakim baru yang akan menerajui Badan Kehakiman negara..........

A'annnnnnnnnnnnnnnnn!! Alhamdulillah.. Masin jua mulut manira yang pernah mengusiknya bahawa beliau akan memegang jawatan tersebut diusia yang muda. ternyata usikan manira tersebut menjadi satu doa buatnya! Baguslah.. Selayaknya dia memegang jawatan tersebut berdasarkan kredibiliti dan buah fikirannya yang sentiasa bernas. Begitulah ceritera manira. Semoga diberi kesempatan untuk melihat usia tua masing-masing pula. InsyaAllah...

p/s: Impikanlah masa depan yang indah kerana itu juga satu doa buatmu. Semoga kita semua mendapat apa yang diimpikan. InsyaAllah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan